Berita Utama

‘Saya tidak mahu budaya kerja toksik di hospital’: KJ

Persekitaran mesti ada hormat-menghormati, bukan kata kesat dan memalukan

BANGI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Budaya kerja toksik tidak sepatutnya berlaku di hospital kerajaan.

Menerusi hantaran di Twitter pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, persekitaran pekerjaan pada masa ini tidak lagi sama dengan dahulu.

“Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Zaman dahulu dan zaman sekarang lain,” katanya.

Beliau berkata, persekitaran pekerjaan mesti ada hormat-menghormati, sokongan dan pemerkasaan bukannya kata-kata kesat yang memalukan.

Selain itu, Khairy mengumumkan anggota pasukan petugas bebas diberi masa dua bulan bagi menyiasat dan membuat syor berhubung budaya kerja di hospital kerajaan serta isu buli.

Beliau turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuannya dengan doktor pelatih di Hospital Selayang awal pagi ini.

“Mendengar pengalaman doktor pelatih pagi ini sebelum memulakan ‘rounds’ mereka pada jam 6 pagi di Hospital Selayang.

“Banyak perkara yang diluahkan doktor pelatih saya.

“Ada jabatan yang mempunyai persekitaran pekerjaan yang bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button