Pendapat

Siapa menang Debat Perdana?

Mengecewakan tiada idea betul-betul segar untuk memacu ekonomi

1. GAYA penyampaian, intonasi suara, bahasa badan dan kemahiran bermain emosi dimenangi oleh DS Anwar Ibrahim. Ini semua dah tahu walau sebelum perdebatan bermula.

2. Fakta dan hujah dimenangi oleh DS Najib Razak. Pengalaman beliau yang berlatarbelakangkan bidang ekonomi serta posisi sebagai bekas PM dan Menteri Kewangan selama 10 tahun banyak membantu menampilkan statistik dan analisa yang meyakinkan (to certain extend).

3. Dari aspek menjawab soalan spontan dari pihak lawan dan penonton bagi saya seri. DSNR tidak menjawab soalan penonton, sebaliknya pusing dan membebel isu ‘cash is king’ manakala DSAI menjawab soalan ‘bola tanggung’ yang diberikan sendiri oleh anak buah beliau, AP dari parti PKR. Saya sukar menilai siapa yang lebih baik menjawab soalan spontan kali ini.

4. Apa yang mengecewakan saya ialah tiada idea serta wawasan yang betul-betul segar untuk memacu ekonomi negara pasca pandemik serta ketidakstabilan politik dunia dan negara dari kedua-dua tokoh.

5. DSNR asyik bernostalgia tentang pelbagai projek mega ekonomi di bawah kepimpinan beliau dan pemansuhan GST. Padahal semua mengetahui banyak projek mega yang disebut masih belum siap, dan beberapa projek yang telah siap pun masih belum memberikan pulangan ekonomi seperti yang telah disasarkan.

6. Manakala DSAI pula berkali-kali (over-do) menekankan isu forensik kewangan, integriti, rasuah dan urustadbir yang berkesan (good governance) yang pada pandangan saya merupakan prinsip asas yang dipersetujui semua (given point) termasuk DSNR walaupun beliau sendiri sedang bergelut dengan pelbagai kes salah laku di mahkamah yang masih belum selesai.

7. Solusi ekonomi yang saya harapkan untuk dengar seperti mengurangkan kebergantungan terhadap financial economy (punca krisis ekonomi di USA), penstrukturan semula sistem perbankan negara, langkah praktikal bagi membasmi kemiskinan dan pengangguran serta methodologi pembahagian kek ekonomi yang lebih telus dan efektif tidak langsung dibincangkan.

8. Paling jelas, kedua-dua pendebat tidak berani sedikitpun menyentuh isu jurang kekayaan (wealth gap) dan jurang pendapatan (salary gap) yang begitu ketara antara bangsa Cina dan bangsa Melayu, apatahlagi mencadangkan rekonsiliasi nasional yang menyeluruh dalam konteks ini.

9. Ini semua masih dalam konteks membangunkan negara dalam kerangka sistem ekonomi kapitalis ciptaan Barat. Seperti saya jangka, wawasan serta agenda yang berada dalam kepala kedua-dua pendebat belum lagi mampu menjangkau keluar dari kepompong tersebut bagi melakukan transformasi ke arah sistem ekonomi Islam yang terbukti lebih adil dan berdaya saing (tidak tahu atau tidak mahu?).

10. Secara kesimpulan, prestasi dan reputasi pendebat sebelum masuk ke gelanggang debat banyak memainkan peranan dalam membentuk pemikiran dan kecenderungan sokongan para pendengar termasuk saya. Secara keseluruhan, jika perlu memilih pemenang saya akan memilih DSAI.

11. Acara debat mungkin didominasi oleh individu yang pandai main emosi, tapi untuk memilih pemimpin negara kita perlu melihat wawasan, kerja keras dan hasil di medan realiti.

12. Kedua-dua pendebat bagi saya sudah tamat tempoh dan bukan pilihan bagi memimpin Malaysia untuk masa depan!

Ir Ts Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button