Pendapat

BMF 2.0 akan muncul kembali

Kerajaan masih gagal bantu orang Melayu walau pelbagai polisi dibuat

APABILA kita melancarkan kempen BMF dahulu, ianya telah mendapat sambutan yang luar biasa dari peniaga-peniaga Melayu.

Ada yang bertemu dengan saya menyatakan jualan mereka meningkat 100%, ada yang 200% dan ada juga yang 300%. Pendekatan BMF dalam tabiat berbelanja bagi masyarakat Islam memang terbukti memberi impak yang besar.

Namun ada juga segelintir yang memang sudah rosak pemikiran dan hati mereka melabelkan kempen ini sebagai rasis. Mereka menghina malah membuat kempen dengan naratif bertentangan (counter narrative) dengan niat memadamkan arus BMF ketika itu.

Saya tak pasti di mana salahnya kempen yang mengajak mengutamakan produk muslim bagi menyokong usahawan-usahawan muslim sebegini.

Kalau dilihat di artikel di atas jelas menunjukkan orang Islam yang majoriti besarnya adalah orang Melayu berada pada tahap kemiskinan yang membimbangkan. Malah kajian yang dibuat oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menunjukkan 59% orang Melayu berada di bawah kemiskinan tegar!

Oleh itu, kita sebagai umat Islam wajib berbuat sesuatu di seluruh peringkat dan kemampuan. Nak tunggu kerajaan, entah bila dan pastinya tidak cukup dan tidak menyeluruh. Rakyat perlu bertindak dengan arus massa; iaitu kempen BMF.

Jadi apakah salah kalau kempen BMF ini dibuat untuk membantu orang Islam, yang pastinya majoritinya adalah Melayu? Apakah salah kalau kita berusaha untuk mengeluarkan orang Melayu dari tahap kemiskinan tegar? Kerajaan setakat hari ini jelas masih gagal membantu orang Melayu walaupun pelbagai polisi telah dibuat.

Apakah wajar NGO dan gerakan sivil pula yang terpaksa berhempas pulas menghabiskan masa dan tenaga serta wang ringgit menggalas tugas kerajaan dilabel rasis? Sepatutnya kerajaan membantu NGO bukannya menjadi batu penghalangnya.

Kini selepas pandemik COVID-19 bakal berakhir, ribuan usahawan Melayu sudahpun gulung tikar, siapa yang nak membantu? Kerajaan hanya fikir nak bail-out usahawan-usahawan besar tapi yang betul-betul mati adalah usahawan-usahawan kecil dan sederhana. Yang menganggur pun majortitinya adalah orang Melayu Islam dan Bumiputera.

Jadi kepada mereka yang sudah rosak hati dan fikirannya, saya mohon janganlah halang kempen BMF ini. Kalau tak mahu menolong tak mengapa, duduk diam sajalah.

Insya-Allah Kempen BMF 2.0 yang akan kembali muncul tidak lama lagi dengan lebih agresif dan strategik sebagai kesinambungan dari yang sebelumnya ini.

Kita tidak akan berhenti membantu umat yang miskin papa kedana walaupun dicemuh oleh pelbagai pihak.

Doakan moga kami di peringkat penyelaras kempen diberi kekuatan untuk terus berjihad membantu ekonomi ummat.

Ini kempen kita semua, untuk manfaat kita semua juga.

Nantikan!

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
14 Mei 2022

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button