Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

15 negara Eropah gesa Israel henti projek penempatan haram

Tindakan negara pengganas ancam daya maju di Palestin

PARIS, 13 Syawal 1443H, Sabtu – 15 negara Eropah menggesa negara pengganas Israel menghentikan rancangan memperluaskan lebih banyak penempatan haram di Tebing Barat yang dijajah.

Jurucakap kementerian luar Perancis, Belgium, Denmark, Finland, Jerman, Greece, Ireland, Itali, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Sepanyol dan Sweden dalam satu kenyataan rasmi berkata, pihaknya memandang serius keputusan Majlis Perancangan Tinggi Israel memajukan projek pembinaan lebih 4,000 unit rumah di Tebing Barat.

“Kami menggesa pihak berkuasa Israel untuk membatalkan keputusan ini.

“Unit perumahan baharu itu akan menjadi penghalang tambahan kepada rancangan penyelesaian dua negara,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan berkenaan, penempatan haram Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta menghalang perdamaian adil, berkekalan dan menyeluruh dengan Palestin.

“Keputusan ini, serta aktiviti perobohan dan pengusiran yang menjejaskan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Kawasan C, secara langsung mengancam daya maju negara Palestin pada masa depan,” katanya.

Negara-negara EU juga menggesa Israel untuk tidak meneruskan sebarang aktiviti perobohan atau pengusiran terancang, terutamanya di Masafer Yatta.

Turut menyuarakan pendirian sama dengan negara EU, Pejabat Luar Komanwel dan Pembangunan United Kingdom (UK) juga luah kebimbangan dengan keputusan Israel untuk memajukan pembinaan projek penempatan haram berkenaan.

“Pendirian UK ialah penempatan adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.

“Kami menggesa Israel untuk membatalkan keputusan ini,” katanya.

Kenyataan dari UK dikeluarkan selepas EU yang turut sama mengecam kelulusan Israel terhadap rancangannya memperluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

“Kesatuan Eropah mengecam dan amat kesal dengan kelulusan pihak berkuasa Israel terhadap rancangan memajukan 4,400 unit rumah dan memperluaskan lagi penempatan haram di seluruh Tebing Barat yang diduduki,” kata Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell dalam kenyataan pada Khamis.-¬† Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button