Dunia

Gunung Merapi meletus lagi, 8 kampung terjejas

Orang ramai dinasihat henti aktiviti di kawasan potensi bahaya

YOGYAKARTA, 19 Syaaban 1444H, Ahad – Gunung Merapi di Indonesia – salah satu gunung berapi paling aktif di dunia – meletus pada Sabtu, menyebabkan kampung berhampiran diselubungi asap dan abu panas.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia, tiada laporan segera mengenai kematian.

Imej yang disiarkan di saluran media tempatan, Kompas TV menunjukkan rumah dan jalan di sebuah kampung berhampiran gunung berapi yang terletak di Pulau Jawa, dilitupi abu.

Balai Cerap Gunung Berapi Merapi menganggarkan awan abu mencapai 3,000 meter (9,600 kaki) di atas puncak.

Sekurang-kurangnya lapan kampung berhampiran terjejas oleh abu gunung berapi.

Susulan itu, pihak berkuasa mewujudkan zon larangan 7 kilometer dari kawah selepas letusan yang direkodkan pada 12.12 tengahari waktu tempatan.

“Bagi menjangka potensi bahaya daripada letusan Gunung Merapi, orang ramai dinasihatkan menghentikan sebarang aktiviti di kawasan berpotensi bahaya,” kata jurucakap agensi, Abdul Muhari dalam kenyataan pada Sabtu.

Muhari berkata, penduduk berhampiran juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan daripada letusan serta menyedari potensi bahaya daripada aliran lumpur gunung berapi jika hujan turun.

Letusan besar terakhir gunung Merapi berlaku pada 2010 yang mengorbankan lebih 300 orang dan memaksa 280,000 penduduk berpindah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button