Berita Utama

BMF 2.0 akan dilancar selepas dapat sambutan luar biasa

Pendekatan BMF terbukti beri impak besar bantu usahawan muslim

BANGI, 13 Syawal 1443H, Sabtu – Kempen yang mendapat tempat di hati umat Islam – Kempen Buy Muslim First (BMF) 2.0 – akan dilancarkan tidak lama lagi dengan lebih agresif dan strategik.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kempen itu sebagai kesinambungan daripada sebelumnya – yang mendapat sambutan luar biasa daripada peniaga Melayu.

“Ada yang bertemu dengan saya menyatakan jualan mereka meningkat 100%, ada yang 200% dan 300%. Pendekatan BMF dalam tabiat berbelanja bagi masyarakat Islam memang terbukti memberi impak yang besar.

“Namun ada juga segelintir yang memang sudah rosak pemikiran dan hati mereka melabelkan kempen ini sebagai rasis. Mereka menghina malah membuat kempen dengan naratif bertentangan dengan niat memadamkan arus BMF ketika itu.

“Saya tak pasti di mana salahnya kempen yang mengajak mengutamakan produk muslim bagi menyokong usahawan-usahawan muslim sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau mempersoalkan kewajaran pihak tertentu melabelkan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan sivil – yang terpaksa berhempas pulas menghabiskan masa dan tenaga serta wang ringgit – menggalas tugas kerajaan sebagai rasis.

“Sepatutnya kerajaan membantu NGO bukannya menjadi batu penghalangnya.

“Kini selepas pandemik COVID-19 bakal berakhir, ribuan usahawan Melayu sudahpun gulung tikar, siapa yang nak membantu? Kerajaan hanya fikir nak bail-out usahawan-usahawan besar tapi yang betul-betul mati adalah usahawan-usahawan kecil dan sederhana.

“Yang menganggur pun majoritinya adalah orang Melayu Islam dan Bumiputera,” katanya.

Meskipun dicemuh pelbagai pihak, Haji Aminuddin menegaskan pihaknya tidak akan berhenti membantu umat yang miskin papa kedana.

“Doakan moga kami di peringkat penyelaras kempen diberi kekuatan untuk terus berjihad membantu ekonomi umat.

“Ini kempen kita semua, untuk manfaat kita semua juga,” katanya.

Kempen BMF sebelum ini dilancarkan PEMBELA dengan bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam serta memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.

Pelbagai usaha telah dilancarkan melalui kempen berkenaan, termasuklah pembukaan Malakat Mall – pasaraya besar yang menghimpunkan ribuan produk keluaran muslim.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button