Berita Utama

Jakim, JPV gantung loji sembelihan di Australia

Penggantungan berkuat kuasa hingga hasil siasatan diperoleh

BANGI, 13 Syawal 1443H, Sabtu – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung kelulusan yang diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethai, Australia berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Mohd Norlizam Mohd Noor dalam satu kenyataan bersama berkata, penggantungan itu berkuat kuasa sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperolehi.

Kenyataan itu berkata, ia susulan kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh loji sembelihan itu bagi mengeksport daging halal ke Malaysia.

“Jakim telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia.

“Jakim juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (PERKEMAS) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sidang khas antara JPV dan Jakim dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australian pada 13 Mei telah bersetuju menggantung kelulusan kepada loji sembelihan berkenaan.

Menurut mereka, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu akan diberi surat tunjuk sebab.

Kenyataan berkata, ini termasuk berdepan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

“Jakim dan JPV ingin menegaskan bahawa prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia adalah melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci.

“Hal ini kerana proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai-pegawai terlatih JPV dan Jakim,” katanya.

Katanya, proses pengauditan ke atas loji sembelihan yang dilaksanakan adalah secara berjadual menggunakan piawaian yang ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk.

“Proses kelulusan pula perlu melalui sebanyak empat kali pembentangan dan penilaian sebelum keputusan diberikan.

“Pembentangan dan penilaian di peringkat Jakim adalah melibatkan Jawatankuasa Pengiktirafan Halal Luar Negara (JPPHLN),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button