Berita Utama

Loji sembelihan: Menteri agama tegas isu halal, haram babit makanan

Jakim sentiasa jaga amanah, kepentingan umat Islam

BANGI, 13 Syawal 1443H, Sabtu – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ketidakpatuhan kepada standard dan prosedur yang ditentukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menterinya, Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya memandang berat aduan serta dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah loji sembelihan di Australia yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

Beliau berkata, bagi melindungi kepentingan awam serta memberikan keadilan kepada semua pihak, siasatan secara menyeluruh dilaksanakan oleh Jakim bersama JPV termasuk pihak berkuasa Australia.

“Saya telah meminta Jakim serta agensi berkaitan untuk membuat siasatan menyeluruh dengan segera dan telus.

“Saya ingin menegaskan bahawa isu halal dan haram melibatkan pemakanan yang menjadi darah daging umat Islam adalah perkara yang sangat dititik berat dalam agama.

“Selaku badan pensijilan halal, Jakim akan sentiasa menjaga amanah serta kepentingan umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jakim dan JPV bersidang bersama pihak Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia pada 13 Mei, bersetuju menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal berkuat kuasa serta-merta hingga hasil siasatan menyeluruh diperolehi.

Selain itu, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut akan diberi surat tunjuk sebab.

Ini termasuk berdepan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Berita berkaitan:

Jakim, JPV gantung loji sembelihan di Australia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button