Berita Utama

Debat Perdana bukti kepimpinan Najib, Anwar sudah tamat tempoh

Apakah negara tandus pemimpin sehingga sanggup julang individu bermasalah

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Syawal 1443H, Ahad – Tiada keperluan lagi untuk rakyat melihat kelibat Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas utama negara berikutan zaman mereka sudah lama berakhir.

Malah kepimpinan bekas Perdana Menteri dan Presiden PKR itu dilihat tidak relevan lagi dengan keadaan semasa.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, apa yang rakyat mahukan kini adalah pemimpin yang boleh menunaikan janji.

Selain boleh membawa pembangunan kepada negara dan bukannya sekadar pandai berjanji manis yang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja, katanya.

“Tetapi apa yang rakyat mahukan adalah pandangan yang jelas dan pemimpin yang berwawasan yang boleh membawa negara di kedudukan yang lebih terjamin.

“Boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada negara tetapi bagi peluang rakyat untuk menikmati daripada sumber negara sendiri.

“Masa untuk mereka memerintah dan menjadi pemimpin sudah berakhir, cukup-cukuplah dengan apa yang mereka lakukan selama ini kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Debat Perdana di antara Najib dan Anwar yang diadakan baru-baru ini.

Menerusi debat berkenaan, didapati dua pemimpin tersebut gagal menyediakan idea-idea segar untuk pembangunan negara sekali gus memberi gambaran bahawa kepimpinan mereka sudah sampai tarikh luput.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani mempersoalkan apakah negara sudah ketandusan pemimpin sehingga sanggup menjulang semula individu yang digelar kluster mahkamah.

“Kita ada ramai pemimpin dalam kalangan orang pemuda yang berwawasan, jadi tidak salah untuk berikan mereka peluang mengemudi negara sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Justeru beliau berharap rakyat bijak menilai dan tidak termakan janji-janji manis yang ditawarkan pemimpin tamat tempoh berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button