DOSM laksana soal selidik tentukan tanda aras baharu kemiskinan
Bertujuan buat pemutihan kadar kemiskinan tegar di negara ini

KOTA BHARU, 14 Syawal 1443H, Ahad – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalan soal selidik mengenai pendapatan dan perbelanjaan isi rumah di seluruh negara yang dijangka siap hujung tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, apabila soal selidik itu siap nanti, negara dijangka memiliki tanda aras baharu paras kemiskinan serta pendapatan bagi golongan B40, M40 dan T20.
Katanya, soal selidik tersebut dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga tahun sekali, dan ketika ini data yang digunakan berdasarkan soal selidik pada 2019.
“Pendapatan turun naik lebih-lebih lagi dalam tempoh COVID-19, tidak adil kalau semua soal selidik dibuat dalam tempoh tersebut.
“Kini dalam peralihan ke fasa endemik, rakyat sudah bekerja dan pendapatan pun meningkat, jadi kita mahu pendapatan itu benar-benar mencerminkan keadaan semasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, soal selidik baharu antara lain bertujuan membuat pemutihan kadar kemiskinan tegar di negara ini.
“Pertengahan tahun lepas, miskin tegar Malaysia ialah 262,000 keluarga, tetapi pada Februari tahun ini jumlahnya ialah 210,000 manakala pada 15 April terus menurun kepada 195,664,” katanya. – Bernama