Uncategorized

Inovasi dan inisiatif dihasil guru diberi perhatian KPM

Terdapat inovasi boleh diguna meluas kerana kos tidak tinggi selain ambil masa cepat

BACHOK, 14 Syawal 1443H, Ahad – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi perhatian terhadap segala pendekatan inovasi dan inisiatif yang dihasilkan para guru supaya ia tidak hanya kekal di sekolah mereka, sebaliknya diperluaskan ke sekolah lain.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana terdapat inovasi yang dilakukan guru-guru ini boleh digunakan secara meluas kerana kosnya tidak tinggi selain mengambil masa cepat dan pendekatan yang mudah.

“Saya telah maklumkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid mengenai perkara ini dan apakah inisiatif serta ikhtiar yang boleh dilakukan supaya ia dapat dikembangkan ke sekolah lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Aminudin Adam.

Mengulas lanjut, Radzi berkata sudah tiba masanya untuk membuat perubahan terhadap struktur pendidikan negara ini supaya mampu bersaing dengan negara luar.

“Dunia berubah tetapi jika kita masih lagi dengan pendekatan lama, kita akan terus ketinggalan kerana dalam konteks pendidikan, kita bukan sahaja bersaing dengan jiran, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri tetapi kita bersaing di peringkat dunia,” katanya.

Pada majlis itu, Radzi turut menyampaikan anugerah kepada 27 guru daripada pelbagai kategori seperti Anugerah Ikon, Anugerah Cikgu Juara Digital, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan  Anugerah Khas Pendidikan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button