Berita Utama

ISMA Melaka Tengah bantah jualan arak di 7E, Family Mart dan 99 Speedmart

Tinjauan dibuat sahkan aduan diterima daripada orang ramai

MELAKA, 14 Syawal 1443H, Ahad – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Melaka Tengah menyatakan bantahan terhadap jualan arak di beberapa kedai serbaneka sekitar kawasan itu.

Antaranya adalah kedai serbaneka 7 Eleven Taman Muhibbah, 99 Speedmart Taman Merlimau Utara dan Family Mart Bandar Baru Merlimau Utara.

Yang Dipertua ISMA Cawangan Melaka Tengah, Dr Khair Razian Othman berkata, pihaknya mendapat aduan daripada orang awam berkenaan wujudnya jualan arak di premis-premis tersebut.

Beliau berkata, tinjauan yang dilakukan pihaknya beberapa hari lepas mengesahkan aduan itu.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk menyuarakan bantahan terhadap aktiviti tidak sihat ini.

“Arak adalah musuh bagi seluruh manusia merentas agama dan bangsa. la membawa kepada penyakit sirosis, keganasan rumah tangga dan kemalangan jalan raya. 

“Statistik yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) mendapati purata 133 orang meninggal dunia setahun akibat kemalangan jalan raya disebabkan pemandu mabuk dari tahun 2010 hingga 2018,” katanya dalam satu surat yang ditujukan kepada pengurus premis tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Khair menegaskan, penjualan arak di premis kedai serbaneka juga mendedahkan pekerja muslim dengan transaksi jualan dan pengendalian arak. 

Katanya, penglibatan umat Islam dengan arak adalah jenayah syariah Melaka Seksyen 50 (1991), dan membawa kepada denda hingga RM3,000 dan penjara dua tahun.

“Justeru, kami dengan tegas membantah penjualan arak di premis Tuan/Puan, dan kami berharap jualan arak dapat dihentikan segera. 

“Tindakan menghentikan jualan arak ini amat bermanfaat untuk komuniti kerana ia mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga dan memupuk gaya hidup sihat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button