Berita Utama

Jalan Gerik-Jeli teruk, Perak bangkit isu kepada kerajaan Persekutuan

Perkara itu telah diajukan kepada Perdana Menteri Februari lepas

IPOH, 14 Syawal 1443H, Ahad – Kerajaan Perak telah membangkitkan isu mengenai keadaan Jalan Gerik-Jeli kepada Kerajaan Persekutuan berikutan sering mendapat rungutan daripada pengguna jalan raya sebagai teruk dan tidak memuaskan selain sering berlaku kemalangan jalan raya.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau sendiri mengetengahkan masalah berkenaan dalam Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri bersama-sama Perdana Menteri pada Februari lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar dan peka terhadap keadaan jalan berkenaan namun sebarang kerja-kerja penambahbaikan atau penyelenggaraan jalan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya kerana laluan itu merupakan jalan Persekutuan.

“Kalau ikut kepada janji dalam perjumpaan itu, memang sudah diambil kira dan akan ada peruntukan untuk membaiki dan selenggara jalan berkenaan dari Gerik ke Jeli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Ipoh Heritage Tourism di Padang Ipoh di sini.

Beliau turut memberi pencerahan berhubung status jalan tersebut yang sebelum ini sering disalah tafsir oleh pengguna jalan raya sebagai jalan negeri.

“Kita ada dua jenis jalan iaitu jalan Persekutuan dan jalan negeri. Ia melibatkan Perlembagaan, wang untuk negeri…kita akan guna untuk jalan negeri.

“Jadi, peruntukan untuk jalan Persekutuan, kita tidak boleh mencampuri begitu, sama juga wang Persekutuan tidak boleh mencampuri jalan negeri, itu dalam Perlembagaan Negara.

“Tapi kita sentiasa lakukan tindakan susulan (isu jalan Gerik-Jeli). Sebab orang ramai tidak tahu mana satu jalan negeri dan jalan Persekutuan, kita sahaja yang tahu,” katanya.

Sebelum ini, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya menerusi media sosial berhubung Jalan Gerik-Jeli yang dikatakan begitu teruk dan berisiko kepada keselamatan mereka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button