Berita UtamaDunia

Jumlah keluarga Afghanistan pindah ke Iran makin meningkat

Ramai golongan perempuan mahu daftar sekolah khusus pelarian

KABUL, 14 Syawal 1443H, Ahad – Bilangan keluarga Afghanistan yang berpindah ke negara jiran, Iran semakin meningkat selepas kerajaan Taliban gagal menunaikan janjinya untuk membenarkan pelajar perempuan menyambung semula pendidikan mereka di sekolah.

Sebelum dan selepas Taliban kembali berkuasa berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan, kumpulan itu telah memberitahu golongan perempuan bahawa mereka akan dibenarkan menghadiri sekolah, tetapi ketika beribu-ribu remaja perempuan di seluruh negara bersedia untuk kembali ke sekolah pada 23 Mac,  keputusan itu ditarik balik.

Pengawal Taliban yang ditempatkan di luar sekolah menghalang kemasukan mereka, menyebabkan pelajar menangis ketika pulang ke rumah dengan buku di tangan.

Berikutan langkah Taliban, sumber, yang bercakap dengan Middle East Eye di bandar timur laut Iran, Mashhad, berkata bahawa pendaftaran di sekolah yang menyediakan perkhidmatan untuk pelarian Afghanistan telah meningkat sejak enam minggu lalu, terutamanya untuk perempuan.

Seorang pengetua di sebuah sekolah berkata, walaupun pendidikan mungkin bukan faktor utama menarik orang ramai ke Iran, ia adalah satu perkara yang penting.

“Terdapat isu utama dengan rasa tidak selamat dan ekonomi,” kata pengetua, yang enggan namanya disiarkan.

Afghanistan telah bergolak sejak Taliban mengambil alih kuasa pada 15 Ogos tahun lalu di tengah-tengah huru-hara pengunduran tentera AS dari negara yang dilanda perang itu.

Sejak itu, negara berkenaan menjadi tempat serangan pengganas berulang, beberapa daripadanya telah dituntut oleh kumpulan pengganas Daesh, dengan Taliban gagal membawa keselamatan kepada rakyat Afghanistan.

Beberapa letupan bom menyasarkan sekolah-sekolah Afghanistan bulan lalu, menyebabkan berpuluh-puluh pelajar maut atau cedera. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button