Berita Utama

Kempen BMF 2.0 mampu kawal kebergantungan produk luar negara

Tingkat pendapatan peniaga Islam, kawal aliran kewangan negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Syawal 1443H, Ahad – Kempen Buy Muslim First (BMF) 2.0 bukan sahaja dilihat mampu meningkatkan pendapatan peniaga Islam tetapi juga dapat mengawal kebergantungan negara terhadap produk luar negara.

Keadaan ini mampu mengawal aliran kewangan negara sekali gus dilihat sebagai mengimport inflasi selain mengekalkan keadaan ekonomi.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, memandangkan mata wang kini berada di kedudukan rendah, negara memerlukan kos yang tinggi untuk membayar bagi mendapatkan bekalan dari luar negara.

“Pelancaran BMF 2.0 ini adalah masa sesuai untuk promosi buatan tempatan selain hadkan kebergantungan kita kepada barangan dari luar negara.

“Keadaan ini mampu mengecilkan perbelanjaan negara selain aliran wang keluar ke luar negara.

“Ia juga mampu dilihat persediaan negara supaya tidak terlalu bergantung kepada bekalan terutama makanan dari luar negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jelas beliau dunia kini berdepan keselamatan makanan dan tidak mustahil Malaysia juga terkesan, namun dengan ada BMF 2.0 ia boleh dijadikan persediaan negara ke arah tersebut.

“Kita lihat sahaja india dan Indonesia yang mengharamkan produk tempatan mereka seperti gandum dan kelapa sawit ke luar negara demi penggunaan domestik, perkara ini kalau kita mampu sediakan sendiri ia mampu kurangkan kos negara untuk perbelanjaan ke arah tersebut,” katanya.

Prof Nuradli dalam masa sama menyarankan supaya produk-produk berkaitan makanan, pertanian dan penternakan diutamakan dalam kempen BMF memandangkan ia mendapat permintaan yang tinggi sepanjang masa.

“Kita lihat sahaja bekalan makanan seperti daging, ayam mendapat permintaan tinggi terutamanya pada musim perayaan, ini menyebabkan harga melonjak tinggi namun sekiranya bekalan mampu disediakan peniaga tempatan kita mampu mengekalkan harga di paras normal sekaligus tidak terikat untuk bergantung kepada pembekal dari luar negara semata-mata,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, produk buatan tempatan juga mempunyai kualiti namun tidak diberikan peluang dan ditonjolkan menyebabkan ramai tidak menyedari perkara demikian.

Semalam Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kempen BMF 2.0 akan dilancarkan tidak lama lagi dengan lebih agresif dan strategik.

Pelancaran kempen tersebut adalah sebagai kesinambungan daripada sebelumnya yang mendapat sambutan luar biasa daripada peniaga Melayu.

Pelbagai usaha telah dilancarkan melalui kempen berkenaan, termasuklah pembukaan Malakat Mall – pasar raya besar yang menghimpunkan ribuan produk keluaran muslim.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button