Berita Utama

Persatuan penduduk berperanan bantah jualan arak di kedai serbaneka

Boleh serah petisyen bantahan kepada pengurus premis

BANGI, 18 Ramadan 1443H, Rabu – Komuniti setempat khususnya persatuan penduduk sangat berperanan dalam membantah penjualan arak di kedai serbaneka, terutama di kawasan majoriti umat Islam.

Yang Dipertua gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Bangi, Ustaz Bilal Jailani berkata, persatuan penduduk boleh membuat bantahan dengan menghantar petisyen kepada pengurus premis.

Melalui langkah itu, katanya, pengurus cawangan akan menyerahkan petisyen berkenaan kepada ibu pejabat syarikat rangkaian kedai serbaneka terbabit.

“Mereka mesti akur, lalu arak perlu terus dikeluarkan dari rak jualan.

“Lihatlah betapa pentingnya peranan komuniti dalam membantah jualan arak ini. Saya sarankan semua persatuan penduduk lakukan perkara yang sama,” katanya seperti dilapor portal Berita Melayukini.

Pada masa sama, Bilal turut berkongsi surat bertarikh 17 April lalu, berhubung bantahan terhadap jualan arak di premis serbaneka, SpeedMart 2924 di Vista, Bangi.

Menerusi surat itu menyatakan, ISMA cawangan Bangi mendapat aduan awam berkenaan wujudnya jualan arak di premis berkenaan, dan mendesak penjualannya segera dihentikan.

Bilal berkata, surat itu boleh dijadikan rujukan kepada persatuan penduduk lain untuk turut sama membantah penjualan arak di kedai serbaneka.

“Ayuh selamatkan anak muda kita dari pengendalian arak. Jika premis itu ada arak, pekerjanya berisiko terlibat dengan jualan arak, pengendalian arak, pengiraan stok arak dan yang paling teruk mengejar orang yang cuba mencuri arak.

“Arak adalah bahaya besar. Ia membunuh 133 orang setahun di jalan raya, selain menyebabkan keganasan rumah tangga dan penyakit sirosis,” katanya.

Pada 5 Februari lalu, ISMA bersama Yayasan Maghfirah melancarkan kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’, yang bukan hanya disasarkan kepada golongan muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Kempen itu turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button