Berita Utama

SUHAKAM selektif isu hak asasi, sampai kiamat tak angkat masalah tindas muslim

Anggota SUHAKAM suka sangat hak asasi manusia versi Barat disyor tubuhkan badan sendiri

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

BANGI, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Ramai dapat melihat bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) memilih-milih isu mahu diperjuangkan dan yang mana akan disenyapkan. 

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, semuanya berpunca daripada rujukan yang digunakan oleh SUHAKAM dalam perjuangan mereka.

“Apa yang berlaku adalah SUHAKAM sentiasa menjadikan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 sebagai rujukan. 

“Dari situ segala apa yang lahir daripada deklarasi itu juga akan diperjuangkan oleh SUHAKAM. Ini termasuklah apa-apa konvensyen antarabangsa seperti hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walhal, tegasnya, SUHAKAM yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia sepatutnya membawa mesej kerajaan secara jelas. 

“Jika ia berkait perjuangan membela hak asasi manusia, ia sepatutnya memperjuangkan hak asasi berdasarkan tafsiran Perlembagaan Malaysia dan budaya tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Muhammad Fauzi mencadangkan agar kerajaan bertegas terhadap SUHAKAM supaya ia memperjuangkan hak asasi manusia berlandaskan batas dan roh Perlembagaan serta undang-undang negara, selain sentiasa merujuk kepada budaya tempatan dan kedudukan Islam sebagai agama negara.

“Pilihan SUHAKAM untuk merujuk sepenuhnya kepada Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 itu membuatkan mereka di masa yang sama bergerak menentang Perlembagaan dan menidakkan budaya tempatan. 

“Jika ini berterusan, cadangan SUHAKAM untuk membuat kajian tentang gender ketiga akan disusuli dengan banyak lagi langkah lain yang akan mengukuhkan pandangan Barat dalam isu hak asasi manusia. 

“Isu solat oleh pekerja muslim, isu paksaan penjualan arak terhadap pekerja muslim dan lain-lain isu seumpamanya tidak akan sama sekali diangkat oleh SUHAKAM sampai kiamat,” katanya.

Bimbang jika suruhanjaya itu berterusan begini, Ustaz Muhammad Fauzi pada hematnya berpandangan SUHAKAM sudah hilang fungsinya. 

“Kerajaan patut menamatkan sahaja suruhanjaya tersebut dan menubuhkan yang baru. 

“Anggota SUHAKAM sedia ada yang suka sangat dengan hak asasi manusia versi Barat, biarkan mereka tubuhkan badan sendiri dan bergerak menggunakan dana sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button