Berita Utama

KPWKM dan D11 bekerjasama bangunkan Indeks Perkembangan Kanak-Kanak

Menilai sejauh mana tahap perkembangan kanak-kanak di Malaysia

BANGI, 14 Syawal 1443H, Ahad – Indeks Perkembangan Kanak-Kanak atau National Child Development Index (CDI) sedang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, CDI dibangunkan untuk menilai sejauh mana tahap perkembangan hidup kanak-kanak di Malaysia bagi membantu kerajaan untuk membentuk strategi lebih efektif dan program yang tepat pada sasarannya.

“Perkara itu antara dibincangkan dalam sesi libat urus dan kolaborasi bersama D11 bagi memantapkan urusan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan wanita di Malaysia,

“Indikator yang akan dibangunkan juga sesuai dengan umur kanak-kanak serta menangani isu yang seringkali dihadapi seperti perkahwinan bawah umur, buruh kanak-kanak serta keganasan terhadap kanak-kanak,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Rina berkata, menerusi pertemuan berkenaan modus operandi terkini Nur Alert dan statistik semasa berkaitan kanak-kanak hilang turut dibentangkan.

Malah, Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak Di Media Sosial turut ditubuh bertujuan menggembleng tenaga pakar dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan supaya memastikan keselamatan kanak-kanak di media sosial terpelihara.

“Jawatankuasa itu merupakan platform untuk memantapkan usaha kerajaan bagi membanteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial dengan penganjuran kempen dan program advokasi.

“Penggubalan Dasar Kanak-kanak Negara bagi menggantikan dasar-dasar sedia ada yang berkaitan dengan kanak-kanak juga kini sedang dilaksanakan yang turut melibatkan kerjasama UNICEF, agensi-agensi kerajaan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivitis dalam memberi input berkaitan kanak-kanak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button