Berita Utama

PM harap belia lebih celik, cakna sistem demokrasi berparlimen

Seterusnya menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang PRU

KUALA LUMPUR, 14 Syawal 1443H, Ahad – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen serta peranan sebagai pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18, seterusnya meningkatkan jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata golongan belia memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya dalam memilih pemimpin negara selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

“Jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada 2020 ialah 6.2 juta orang iaitu 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan televisyen tempatan hari ini.

“Pada 12 Mac 2022, negara mencipta sejarah baharu apabila golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18,” katanya.

Perdana Menteri berkata penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif serta perlu dikembangkan lebih meluas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button