Berita UtamaDunia

Rakyat Lubnan mengundi hari ini

Ramai harap keputusan dapat beri tamparan kepada ahli politik

BEIRUT, 14 Syawal 1443H, Ahad – Rakyat Lubnan mengundi pada hari ini, bagi Pilihan Raya Parlimen pertama sejak kejatuhan ekonomi negara itu.

Ramai berharap keputusannya dapat memberi tamparan kepada ahli politik memerintah yang mereka persalahkan atas krisis di negara itu walaupun kemungkinan berlakunya perubahan besar kelihatan tipis, lapor Reuters.

Pilihan raya itu, yang pertama sejak 2018, dilihat sebagai ujian sama ada Hizbullah yang bersenjata lengkap, disokong Iran dan sekutunya boleh mengekalkan majoriti Parlimen mereka di tengah-tengah kemiskinan serta kemarahan yang meningkat kepada parti yang berkuasa.

Sejak kali terakhir mengundi, negara itu telah digemparkan dengan kegawatan ekonomi yang menurut Bank Dunia didalangi oleh kelas pemerintah, dan oleh letupan besar di pelabuhan Beirut pada 2020.

Walaupun penganalisis percaya kemarahan orang ramai boleh membantu calon yang berfikiran reformasi memenangi beberapa kerusi, peralihan besar dalam imbangan kuasa dijangka sukar berlaku, dengan sistem politik Lubnan condong kepada parti yang sudah mantap.

Kemerosotan itu menandakan krisis Lubnan yang paling tidak stabil sejak perang saudara 1975-90, menenggelamkan mata wang sebanyak lebih daripada 90 peratus, menjerumuskan kira-kira tiga perempat daripada penduduk ke dalam kemiskinan, dan membekukan penabung daripada deposit bank mereka.

Dalam gejala keruntuhan itu, beberapa pusat mengundi pula mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor media tempatan.

“Saya mengundi dengan harapan untuk menukar seluruh kerajaan dan untuk mempunyai keadaan yang lebih baik, untuk orang ramai mencari kerja, boleh makan dan minum. Keadaan kini sangat mahal dan tiada elektrik, tiada air,” kata Khodr al-Ashi, 62, mengundi di Beirut.

Undian akan ditutup pada jam 7 malam (1600 GMT), dengan keputusan tidak rasmi dijangka malam ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button