Berita Utama

Reman pemandu treler disambung 3 hari lagi

Lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewatnya Rabu depan

IPOH, 14 Syawal 1443H, Ahad – Perintah reman terhadap pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas, disambung tiga hari lagi bermula esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewat-lewatnya Rabu depan.

“Reman dapat disambung selama tiga hari. Suspek dijangka didakwa sama ada Selasa petang atau Rabu pagi,” katanya yang dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pemandu treler berkenaan direman bermula Khamis lepas hingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan polis mendapati pemandu itu mempunyai 22 saman trafik dengan daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu laju.

Lima pelajar yang maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button