Berita Utama

Jangan ulangi kesilapan Pulau Batu Puteh dalam pertikaian Tubir Selatan

Pulau Batu Puteh telah terlepas kerana tempoh rayuan sudah lepasi had

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 15 Syawal 1443H, Isnin – Malaysia perlu merangka strategi agar kesilapan yang berlaku berhubung isu pertikaian Pulau Batu Puteh tidak berulang kembali.

Penganalisis politik antarabangsa, Azmi Hassan berkata, semua pihak kini perlu serius dan memberi tumpuan supaya kawasan Tubir Selatan dapat dibuktikan berada dalam perairan Malaysia.

Katanya, keadaan ini seterusnya menjadikan kawasan pertikaian itu menjadi hak milik kekal negara.

“Isu (Pulau) Batu Puteh telah terlepas kerana tempoh rayuan terhadap keputusan sudah melepasi had masa yang ditetapkan.

“Jadi tumpuan kita kini adalah untuk memastikan Tubir Selatan kekal menjadi milik kita.

“Masalahnya (Pulau) Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah berdekatan satu sama lain, sebab itu strategi kena betul dalam perkara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, walaupun dalam menangani pertikaian Pulau Batu Puteh berlaku kesilapan dan perkara itu tidak boleh diulangi sekali lagi untuk isu Tubir Selatan.

“Kalau kita lihat peta Tubir Selatan adalah lebih dekat daripada Batuan Tengah milik kita sekarang ini.

“Bagaimanapun, kita mahu memberi justifikasi bahawa Tubir Selatan itu berada dalam perairan kita adalah penting, dan tidak biarkan Singapura yang ada ura-ura menyatakan Batu Puteh itu mahu diiktiraf sebagai pulau,” katanya.

Azmi menjelaskan, sekiranya perkara tersebut berlaku ia akan memberikan signifikan besar kepada Malaysia kerana batu itu mempunyai perairan kedaulatan maksimum 50 meter sahaja.

“Jadi dalam ini hal ini strateginya kita kena tepat bagi memastikan Batu Puteh itu adalah batu dan bukannya pulau, dalam merangka strategi untuk memastikan hak kedaulatan Batu Puteh itu tidak melampau sebagai sebuah entiti batu itu sendiri,” katanya lagi.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Laporan berkenaan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button