Berita Utama

BERJASA sudah bersedia tanding kawasan majoriti Melayu

Telah utus surat pada PAS, Bersatu bincang strategi kawasan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Syawal 1443H, Isnin – Parti BERJASA sudah lama bersedia untuk menjadikan kawasan majoriti Melayu sebagai kerusi pilihan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ini termasuklah, kawasan majoriti pengundi Melayu yang diberikan sewenang-wenangnya kepada parti kaum lain seperti MCA dan MIC.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, parti itu tidak mahu peristiwa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai terus berlaku, akibat kelemahan UMNO kerana ‘tunduk’ kepada sergahan MCA.

“BERJASA sentiasa bersedia untuk berbincang dengan mana-mana parti sama ada UMNO, PAS mahupun Bersatu dalam mengatur strategi calon di kawasan majoriti Melayu.

“Neraca pertimbangan dalam mengatur strategi tersebut mestilah berdasarkan keuntungan bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak dan juga keuntungan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah supaya BERJASA bertanding di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi MCA.

Prof Ridhuan Tee dalam ruangan kolumnis di Ismaweb.net hari ini menyarankan BERJASA untuk berbincang dengan Bersatu dan PAS supaya mereka tidak masuk bertanding, selain berunding dengan NGO dan NGI bagi mendapatkan sokongan itu.

Mengulas perkara itu, Ustaz Zamani berkata, beliau selaku presiden telah menghantar surat kepada Presiden PAS dan Presiden Bersatu bagi tujuan berbincang strategi kawasan, namun BERJASA masih menunggu maklum balas daripada kedua-dua parti itu.

Pada masa sama, beliau turut melihat bahawa Muafakat Nasional (MN) mesti membabitkan parti-parti lain, selain UMNO dan PAS.

“Nasib untung rugi bangsa Melayu tidak boleh diserahkan hanya kepada UMNO dan PAS sahaja, sebaliknya parti-parti lain juga mesti dilihat bersama.

“BERJASA amat menyedari bahawa rakyat perlu diberikan pimpinan yang bersifat negarawan dan berwibawa.

“BERJASA bersedia untuk memulakan gerak kerja menemui pimpinan parti-parti yang bersedia untuk bersama pimpin negara ini dan membaiki semula sistem politik yang sudah rosak,” katanya.

Berita berkaitan:

BERJASA mesti bertanding di kawasan majoriti Melayu ditandingi MCA PRU15

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button