Berita Utama

Kempen BMF belum gagal walau sedikit sepi

Gerakan diwujud untuk bantu ekonomi umat Islam Malaysia

BANGI, 15 Syawal 1443H, Isnin – Kempen Buy Muslim First (BMF) yang pernah menjadi fenomena ketika dilancarkan pada 2019 tidak pernah gagal walaupun ia sudah tidak lagi hangat seperti tiga tahun lalu.

Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, kempen yang digerakkan bagi membantu merancakkan ekonomi umat Islam di Malaysia itu masih berjalan, walaupun ia semakin sepi kebelakangan ini.

Beliau berkata, gerakan yang dipelopori oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain adalah tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian serta kemaslahatan umat Islam secara khususnya.

“Pada saya, BMF belum gagal dan tidak akan gagal kerana ini merupakan satu ‘perintah’ kepada kita untuk menjaga umat.

“Gerakan ini diwujudkan bagi membantu ekonomi Islam, terutamanya dalam aspek menjaga sumber makanan kita supaya sentiasa mematuhi konsep halal yang dituntut,” katanya seperti dilapor Malakat Tribune, hari ini.

Mohd Fadzil berkata, apabila urusan bekalan makanan umat Islam diserahkan kepada golongan tidak beriman, maka isu halal makanan berkenaan akan timbul.

“Benar, ayam dan daging sembelihan yang dimakan disembelih oleh orang Islam, tetapi adakah kita okey jika sumber makanan itu diuruskan oleh mereka yang tiada iman?,” soalnya.

Justeru, beliau menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa gerakan BMF sudah menemui titik kegagalan disebabkan komposisi negara yang dihuni kepelbagaian kaum dan agama.

“Saya setuju dari aspek kita jangan guris hati bangsa lain tanpa kewajaran.

“Sebagai contoh, mereka pun boleh berniaga makanan halal, tapi perlu mempunyai rakan kongsi, bukan sekadar pekerja bagi memenuhi keperluan pensijilan, yang menjaga aspek keimanan dalam pemprosesan makanan tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button