Berita UtamaDunia

Perintah berkurung di Sri Lanka ditamatkan

PM baharu bincang dengan Bank Dunia, Bank Pembangunan isu bantuan

COLOMBO, 15 Syawal 1443H, Isnin – Perintah berkurung di seluruh Sri Lanka ditamatkan, semalam ketika Perdana Menteri baharu, Ranil Wickremesinghe membentuk Kabinet baharu bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu.

Perintah berkurung bermula 9 Mei lalu selepas pertempuran yang memaksa Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri meninggalkan abangnya Gotabaya Rajapaksa memegang tampuk pemerintahan sebagai presiden.

Ini selepas lebih sebulan protes antikerajaan yang kebanyakan mengadakan perhimpunan aman bertukar menjadi ganas apabila penyokong bekas perdana menteri itu menyerbu kem protes di Colombo dengan tindakan termasuk membakar khemah-khemah serta memukul penunjuk perasaan.

Pertempuran mengorbankan sembilan penunjuk perasaan manakala lebih 300 yang lain cedera.

Sementara itu, jurucakap polis, Nalin Thalduwa berkata, pihaknya telah menahan kira-kira 230 penduduk yang mempunyai kaitan dengan pertempuran minggu lalu.

“Balai polis di seluruh negara diarahkan untuk meningkatkan rondaan selain meneruskan pemeriksaan terhadap kenderaan-kenderaan orang awam,” katanya.

Katanya lagi, lebih banyak tangkapan akan dibuat kerana siasatan ke atas keganasan masih diteruskan.

Dalam pada itu, Wickremesinghe menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.

Perbincangan tertumpu kepada isu bantuan yang dihadapi termasuk bekalan ubat, makanan dan juga baja.

Wickremesinghe yang sebelum ini memimpin negara membuat pelantikan Kabinet pertamanya, kelmarin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button