Pendapat

Rasulullah sangat memuliakan guru

Para sahabat tidak meninggikan suara di sisi guru

1. AL-IMAM Ahmad meriwayatkan hadis mengenai bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat agar memberikan hak dan penghormatan kepada guru. Sabda Rasulullah:

ليس من أمَّتي من لم يُجلَّ كبيرنا، ويرحم صغيرنا، ويعرف لعالمنا

“Bukanlah dikalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil, dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami. (HR Ahmad)

2. Perhatikan bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat agar saling menghormati di antara orang tua dan muda bahkan wajib memberikan penghormatan pada guru.

3. Para sahabat nabi dahulu sangat memuliakan guru mereka. Urwah ibn Mas’ud menceritakan bagaimana para sahabat nabi amat menghormati guru mereka iaitu Rasulullah ﷺ. Menurut beliau:

وإذا تكلم خفضوا أصواتهم عنده، وما يُحِدُّون إليه النظر تعظيمًا له

“Para sahabat akan bercakap dengan suara yang rendah (sopan) ketika bertutur dengan Baginda ﷺ, serta tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati Rasulullah ﷺ.

4. Pertuturan dan memek muka adalah antara perkara yang amat dijaga oleh para sahabat. Mereka tidak meninggikan suara di sisi guru mereka dan mereka tidak menarik muka apabila berhadapan dengan guru.

5. Malah menurut Saidina Anas, para sahabat akan berhati-hati ketika datang untuk bertemu dengan Rasulullah ﷺ sehingga Anas menggambarkan bahawa:

كانت أبواب النبي صلى الله عليه وسلم تـُقـْرعُ بالأظافير

“Sesungguhnya pintu rumah Rasulullah ﷺ itu diketuk dengan kuku-kuku.” Kenyataan ini menggambarkan bagaimana para sahabat bimbang untuk mengganggu Rasulullah sehingga mereka mengetuk pintu rumah Rasulullah dengan perlahan sekali.

6. Al-Imam al-Ghazali mendidik perkara yang sama. Sehingga beliau menegaskan bahkan meletakkan kedudukan guru lebih mulia dari kedudukan ibu bapa. Kata al-Imam al-Ghazali:

فإنَّ الوالد سببُ الوجود الحاضر، والحياة الفانية، والمعلم سبب الحياة الباقية

“Sesungguhnya ibubapa adalah sebab kewujudan seorang anak dimuka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru adalah sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya. (al-Ghazali, Ihya Ulum al-Din)

7. Benar, guru adalah tidak maksum. Guru juga melakukan kesilapan. Namun kita sebagai ibu ayah perlu mendidik anak-anak agar menghormati dan memuliakan guru. Ia adalah sebahagian dari sunnah yang digariskan oleh Baginda Nabi. Selamat Hari Guru!

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button