UMNO tak terikat dengan mana-mana pakatan politik untuk PRU15
Dakwa modal politik parti lawan semakin menipis

BANGI, 15 Syawal 1443H, Isnin – UMNO tidak terikat dengan mana-mana pakatan politik yang ada untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pemetaan siasah dan wibawa politik parti itu akan dapat berdiri dengan kekuatan UMNO sendiri.
Katanya, langkah itu pasti memberikan UMNO ruang untuk menawarkan sesuatu yang bijaksana dan baharu kepada rakyat.
“Strategi kemenangan dalam PRU15 mesti diasaskan kepada kemampuan kita menawarkan masa hadapan rakyat yang lebih terjamin bersama UMNO dan Barisan Nasional.
“Gelombang dan arus politik tidak mungkin berulang dalam PRU15. Hakikat ini diakui oleh kalangan pemimpin parti lawan sendiri. Modal politik mereka semakin menipis,” katanya dalam tulisan di blog, hari ini.
Justeru, beliau berkata, ini adalah waktu untuk UMNO menyusun gerak dan strategi yang mampan, berbanding mempunyai perspektif serta pandangan politik kabur.
“Yang tidak kurang pentingnya untuk kita lakukan adalah melihat keperluan dan tuntutan pelbagai generasi dalam spektrum pengundi.
“Sementara kita mahu memenangi hati pengundi muda atau pengundi kali pertama, hemah dan nawaitu kita tidak boleh terasing daripada mereka yang selama ini ‘setia’ menyokong kita,” katanya.