Berita Utama

COVID-19 rancak permintaan getah asli tempatan

67 peratus bekalan sarung tangan dunia dikeluarkan Malaysia

BANGI, 22 Muharram 1442H, Khamis – Jumlah permintaan getah dan peratusan bekalan dari Malaysia yang tinggi patut menjadi khabar gembira kepada para penoreh di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Idris Ahmad berkata, disebabkan wabak COVID-19, permintaan terhadap sarung tangan getah di seluruh dunia meningkat dan dijangka mencapai sehingga 330 bilion unit pada tahun ini. 

Katanya, daripada jumlah itu, 67 peratus dibekalkan oleh Malaysia.

“Tambahan pula, nilai eksport sarung tangan getah juga meningkat pada kadar 50.1 peratus dengan nilai RM15.06 bilion bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun 2020 berbanding RM10.03 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Justeru, saya berharap nilai permintaan getah yang tinggi ketika ini akan memanfaatkan para penoreh getah di Malaysia seperti di Baling, Sik, Grik dan Jeli,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau menyambut baik usaha kerajaan memastikan kilang-kilang pemprosesan sarung tangan getah di Malaysia terus menggunakan sumber tempatan berbanding getah sintetik di dalam pembuatan produk. 

Berdasarkan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah sarung tangan getah yang dihasilkan di dalam negara dengan menggunakan getah asli adalah 60 peratus daripada jumlah keluaran. 

Manakala 40 peratus lagi menggunakan getah sintetik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button