Berita Utama

Kekurangan bekalan tepung gandum dalam negara tiada kaitan larangan eksport India

Malaysia bergantung 85 peratus gandum dari Australia

KUALA LUMPUR, 16 Syawal 1443H, Selasa – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran tiada kaitan besar dengan tindakan India melarang eksport barangan itu ke luar negara.

Beliau berkata, Malaysia hanya bergantung terhadap peratusan kecil import gandum dari India, sekali gus tidak memberi kesan signifikan kepada bekalan.

“Negara bergantung 85 peratus gandum dari Australia, manakala 15 peratus lagi dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan India. Jadi larangan dari India tidak beri kesan secara jilid,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan. 

Sebaliknya, beliau berkata, permintaan tinggi terhadap sesuatu jenama tepung gandum dipercayai antara punca berlakunya kekurangan bekalan itu di pasaran.

“Ia mungkin ada beberapa sebabnya (kekurangan bekalan di pasaran), antaranya kerana permintaan terhadap suatu jenama itu sangat popular hingga ramai ingin membeli jenama tertentu.

“Ia menjadikan bekalan itu cepat habis… bukan kerana India sahaja, namun di seluruh dunia memang ada kesan rantaian bekalan,” katanya.

Pada masa sama, Alexander berkata, buat masa ini pihaknya tidak menerima aduan atau mengesan secara serius kekurangan tepung gandum di pasaran.

Katanya, sehingga kini maklumat mengenai kekurangan bekalan tepung diperoleh melalui media sebelum siasatan dilakukan di Melaka.

“Namun ia hanya membabitkan kes terpencil dan setakat ini bukan menyeluruh, namun kita tetap mengambil serius selain menyiasat sebarang maklumat.

“Setakat ini kekurangan adalah tidak kritikal, namun kita sentiasa pantau bekalannya supaya tidak terganggu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika berlaku peningkatan harga tepung gandum di pasaran, ia bukanlah daripada bekalan yang bersubsidi.

Katanya, penggunaan tepung gandum bersubsidi adalah sebanyak 100,000 tan metrik di negara ini setahun dan 192,959 tan metrik pula tidak bersubsidi.

“Kita juga akan melancarkan suatu inisiatif bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan bersubsidi atau sebaliknya, supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan bersubsidi sewenang-wenangnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button