Berita Utama

Kelantangan Malaysia bersuara demi Palestin di AS wajar dipuji

Berharap pada sekutu Israel selesaikan krisis usaha sia-sia

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Syawal 1443H, Selasa – Pendirian Malaysia berhubung isu berkaitan Palestin ketika pertemuan pemimpin ASEAN dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden baru-baru ini wajar dipuji.

Namun, tindakan mengharapkan AS secara jujur menggunakan pengaruhnya bagi menyelesaikan isu Palestin yang telah berlarutan selama 74 tahun dilihat sebagi satu usaha yang sia-sia.

Ini kerana dunia sedia maklum bahawa AS adalah rakan sekutu Israel yang kuat sejak sekian lama, kata Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi.

“Bagaimanapun, usaha pihak kerajaan untuk bersuara mempertahankan Palestin adalah sesuatu yang baik.

“Ia perlu disusuli dengan tindakan-tindakan yang lebih proaktif untuk memberi kesan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Noor Azib menegaskan Palestin adalah sebuah negara berdaulat dan mempunyai hak dari sudut undang-undang untuk wujud sebagai sebuah negara yang sah.

Bagaimanapun katanya, kekejaman berlaku di sana apabila pihak Israel yang terus menerus menceroboh dan menindas rakyat Palestin.

“Kekejaman berterusan ini tidak mungkin terus menerus berlaku tanpa kuasa besar yang melindungi mereka di belakangnya,” katanya.

Pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington DC, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan isu Palestin dan menggesa Washington menggunakan pengaruhnya dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata, pendirian tegas itu harus diambil bagi menyelesaikan krisis yang telah berlarutan sejak sekian lama.

“Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesai isu tersebut.

“Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button