Berita Utama

Mahkamah tetapkan 29 Jun tarikh keputusan kes rogol Paul Yong

Walau terdapat dakwaan konspirasi politik, tiada laporan polis dibuat

IPOH, 16 Syawal 1443H, Selasa – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 Jun ini untuk keputusan kes rogol membabitkan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan pada akhir kes pembelaan pada Selasa (17 Mei).

Peguam utama, Datuk Rajpal Singh dalam hujahnya berkata, bukan untuk pihak pembelaan membuktikan kes itu tetapi untuk pihak pendakwaan membuktikan kes mereka di luar keraguan munasabah.

Beliau berkata, isu terbesar yang dibangkitkan pihak pembelaan ialah mengapa pihak pendakwaan tidak memanggil pegawai penyiasat (IO) yang mengendalikan dakwaan konspirasi politik membabitkan anak guamnya.

“Pihak pendakwaan tidak menawarkan saksi (IO) kepada pihak pembelaan juga.

“Mereka boleh memanggil IO. Dia boleh memberikan penjelasan tetapi semua ini tidak dilakukan.

“Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa isteri tertuduh adalah ‘pihak yang berkepentingan’ dalam kes itu tetapi kami tidak bersetuju dengan ini,” katanya seperti dilapor The Star.

Rajpal berkata, isteri tertuduh adalah ‘saksi yang boleh dipercayai’ kerana dia memberi keterangan bahawa jika terdapat sebarang kebenaran berkaitan dakwaan rogol, dia tidak akan sekali-kali menyokong suaminya.

“Hujah terbesar ialah dia adalah saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada kami dan mereka (pendakwaan) mempunyai hak untuk menuduhnya jika dia melakukan apa-apa cara, bertentangan dengan kenyataannya yang diberikan sebelum ini.

“Pihak pendakwaan tidak melakukan itu (mendakwa), yang bermaksud terdapat banyak kebenaran dalam kenyataannya dan apa yang dia katakan dalam keterangan lisannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri, Azlina Rashdi dalam hujahnya berkata, pihak pendakwaan telah menjelaskan secara terperinci bahawa tertuduh adalah satu-satunya pencari nafkah keluarga dan isteri serta anak-anaknya bergantung kepadanya.

“Anak-anak belajar di kolej swasta, jadi isteri bergantung harap pada suami demi masa depan anak dan keluarga.

“Jika apa-apa berlaku kepada tertuduh, ia akan memberi kesan kepada masa depan keluarga,” katanya.

Azlina berkata, mangsa telah pun memberi keterangan mengapa dia tidak memaklumkan kepada ibunya mengenai rogol itu.

“Dia malu, takut dan tidak mahu ibunya risau. Dia keseorangan di sini dan bukan di negara asalnya.

“Berdasarkan bukti forensik, tiada DNA ditemui tetapi telah dijelaskan mengapa ia tidak ditemui,” katanya.

Beliau juga berkata walaupun terdapat dakwaan konspirasi politik, tiada laporan polis dibuat.

Pada 7 Disember, Paul diperintahkan membela diri atas dakwaan merogol pembantu itu lebih dua tahun lalu.

Hakim Abdul Wahab telah memutuskan terdapat kes prima facie terhadap Paul selepas mengambil kira semua bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Pada 23 Ogos 2019, Paul dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya yang ketika itu berusia 23 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di tingkat atas rumahnya di Taman Meru Desa, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, pada 7 Julai tahun itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button