Berita Utama

Malaysia sedang berusaha mohon tambahan 5,000 lagi kuota jemaah haji

Permohonan bergantung kepada kelulusan, bidang kuasa Arab Saudi

PUTRAJAYA, 16 Syawal 1443H, Selasa – Kerajaan Malaysia sedang berusaha memohon tambahan 5,000 lagi kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, permohonan itu bagaimanapun bergantung kepada kelulusan dan bidang kuasa kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan berusaha untuk tambahkan lagi kuota haji untuk jemaah Malaysia. Setakat ini 5,000 kuota yang diminta untuk ditambah.

“Apapun ia bergantung kepada kerajaan Arab Saudi untuk menentukannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Katanya, beliau sentiasa mendengar permohonan rakyat yang meminta agar kuota ditambah.

Bagaimanapun, dalam upaya yang ada, beliau akan berusaha sehabis baik walaupun ia di bawah bidang kuasa kerajaan Arab Saudi.

Idris berkata, di peringkat Lembaga Tabung Haji pada ketika ini sedang giat membuat persiapan yang terbaik untuk memastikan jemaah Malaysia dapat menunaikan haji dengan sesempurna mungkin tahun ini.

“Kita doakan supaya urusan haji pada kali ini diberikan kelancaran oleh Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan kuota rasmi haji untuk Malaysia bagi tahun ini (1444 Hijrah) ditetapkan kepada 14,306 jemaah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button