Berita Utama

Melaka tutup taska, tadika jika ada arahan KKM

Walaupun kes mingguan penyakit HFMD di negeri itu meningkat

MELAKA, 16 Syawal 1443H, Selasa – Melaka hanya akan menutup kesemua taska dan tadika sekiranya mendapat nasihat atau arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), walaupun kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu meningkat.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata setakat ini hanya 11 pusat asuhan kanak-kanak diarah tutup di Melaka sejak HFMD mula menular.

“Bagaimanapun setakat ini, tiada arahan penutupan bagi kesemua tadika, taska dan pusat jagaan harian di Melaka. Jika ada arahan mengenai penutupan itu baru kami tutup kesemuanya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

Terdahulu media melaporkan, kes HFMD di Melaka mencatatkan peningkatan ketara iaitu 977 kes setakat minggu lepas berbanding hanya 95 bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata 13 kluster telah dilaporkan melibatkan 11 premis iaitu tujuh di Jasin, tiga di Melaka Tengah dan sebuah premis di Alor Gajah, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button