Berita Utama

NGO desak SPRM, PDRM siasat isu status halal daging import

PPIM mahu laporan audit bagi jamin keselamatan umat Islam

BANGI, 16 Syawal 1443H, Selasa – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa membuat siasatan berhubung isu status halal daging import.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, laporan akan dibuat oleh pihaknya sebagai desakan kepada pihak berkuasa untuk membuka kertas siasatan secara rasmi terhadap isu berkenaan.

“Kita perlukan laporan audit, kita perlukan SPRM dan kita perlukan penubuhan jawatan kuasa tertentu untuk mengkaji perkara ini, sebab kalau tidak siasat, ia tidak akan berhenti dan akan terus berlaku, jadi kena ambil tindakan.

“Oleh itu, kita akan buat laporan SPRM, PDRM serta badan audit, kita mahu laporan audit memperincikan segalanya, bagaimana ia boleh berlaku? Kaedah ini penting bagi menjamin keselamatan kita sebagai umat Islam,” katanya ketika dilapor Utusan hari ini.

Laporan itu susulan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung kelulusan penyembelihan halal yang diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal di Australia.

Penggantungan itu dilakukan sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd Nor juga difahamkan akan bersama-sama membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Faizan merupakan salah seorang daripada mereka yang mendedahkan bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah penyembelihan di Australia, termasuk rakaman video ketidakpatuhan yang berlaku bertahun-tahun.

Berdasarkan bukti rakaman video dan gambar, haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu menyebabkan haiwan itu mati akibat lemas dan bukannya kerana disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button