Berita Utama

Pemandu treler didakwa memandu berbahaya, sebabkan kematian 5 pelajar USAS

Mengaku tidak bersalah atas 5 pertuduhan yang dibacakan

KUALA KANGSAR, 16 Syawal 1443H, Selasa – Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan memandu dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lima pelajar yang rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar pada Khamis lepas.

Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Tertuduh didakwa sebagai pemandu treler jenis Volvo telah memandu kenderaan itu di atas jalan raya dengan berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada kira-kira pukul 1 pagi 12 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama iaitu penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan serta butiran sabitan diendors pada lesen memandu orang yang disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan lesen digantung sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam G Ravishankar yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga anak berusia dua hingga 14 tahun.

Mohd Shazmeer memerintahkan lesen tertuduh digantung dan membenarkan tertuduh diberikan jaminan berjumlah RM20,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button