Berita Utama

PEMBELA ajak umat Islam berdoa keislaman ketiga anak Loh kekal

Kalimah syahadah seolah-olah tidak bernilai jika diarah murtad

BANGI, 16 Syawal 1443H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengajak umat Islam berdoa dengan bersungguh-sungguh supaya keislaman tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong kekal.

Ini susulan Mahkamah Tinggi hari ini akan mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Loh bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Selain itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya turut mengajak orang ramai mengikuti kes ini dengan teliti.

“Yang paling penting ialah untuk berdoa bersungguh-sungguh agar anak-anak ini kekal keislamannya dan tidak diarah murtad kerana keputusan mahkamah.

“Jika mereka berjaya murtadkan anak-anak ini, maka kalimah syahadah seolah-olah menjadi tidak bernilai lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loh, 34, selaku pemohon memfailkan permohonan tersebut pada 25 Mac lepas dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu tunggal itu memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya, selain membatalkan kad-kad rasmi memeluk agama Islam jika ia telah dikeluarkan oleh pendaftar mualaf berkenaan atau mana-mana pihak lain dan memohon perintah larangan untuk menghalang pihak terbabit mengeluarkan kad berkenaan, sekiranya belum dikeluarkan.

Selain itu, ibu tunggal berkenaan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah larangan untuk menghalang Mohd Asri melalui pegawai, pekerja atau Jabatan Mufti Negeri Perlis membuat apa-apa kenyataan secara nyata atau tersirat yang boleh membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

Pemohon juga menuntut deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, dalam versi bahasa Malaysia dan Inggeris, seperti yang dipinda oleh Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak sebagai mualaf hanya dengan keizinan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, walaupun kedua-dua mereka masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button