Berita Utama

Pengunduran Dr Afifi tindakan bertanggungjawab

Demi jaga darjat kemuliaan raja pemerintah dan institusi istana

IPOH, 16 Syawal 1443H, Selasa – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan pengunduran diri Pensyarah Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom Datuk Dr Afifi Al-Akiti sebagai Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan yang juga Penasihat Agama Sultan Perak, adalah sangat bertanggungjawab.

“Siapa sahaja yang berada dalam keadaan sebegitu perlu meletakkan kepentingan menandingi kemuliaan Sultan, demi menjaga darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana.

“Sultan kita adalah penaung dan ketua agama Islam negeri, jadi sudah tentu itu kena didahulukan sama ada kejadian itu berlaku atau tidak, terpulang kepada keadaan yang menentukannya tetapi yang penting, dia telah mengambil tanggungjawab itu untuk tidak menyebabkan Tuanku dilibatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak di sini.

Kelmarin, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima permohonan Afifi untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, sebagai Orang Besar Delapan Perak.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Seri Ayob Hashim dilaporkan berkata Afifi telah mengutus surat pada hari yang sama, memohon perkenan Sultan Nazrin untuk mengundurkan diri daripada menyandang gelaran berkenaan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, beliau berkata Sultan Nazrin berkenan menerima permohonan tersebut untuk dikuatkuasakan.

Baru-baru ini tular klip video yang memaparkan seorang lelaki yang dikatakan tokoh agama dan penasihat Sultan, sedang berhibur di sebuah kelab malam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button