Berita UtamaDunia

Ribuan bersorak penamaan semula ‘Palestine Way’ di New Jersey

Keputusan menamakan semula jalan bagi perangi penghapusan identiti Palestin

WASHINGTON, 16 Syawal 1443H, Selasa – Ribuan rakyat Amerika Syarikat (AS) berkumpul di bandar Paterson sambil mengibarkan bendera Palestin bagi meraikan penamaan semula bahagian jalan yang sibuk ke Palestine Way.

Majlis Bandar Raya Paterson sebulat suara pada April menamakan semula kawasan lima blok Jalan Utama ‘Palestine Way’ sebagai penghormatan kepada komuniti Palestin yang besar di bandar itu dan sumbangannya kepada perniagaan serta kehidupan sivik.

“Rakyat Palestin membuat sumbangan yang tidak terkira kepada komuniti kami setiap hari di AS.

“Sejarah berlaku di sini, apabila kami akhirnya mendedahkan bukan Palestine Street atau Palestine Boulevard tetapi Palestine Way,” kata Datuk Bandar Andre Sayegh.

Dianggarkan 5,000 orang bersorak ketika Sayegh mendedahkan papan tanda Palestine Way berwarna hijau terang yang turut memaparkan bendera AS dan Palestin.

“Ini membolehkan kami sentiasa mengingati perjuangan Palestin di luar negara. Ia adalah perayaan, tetapi ia juga menunjukkan bahawa rakyat Palestin adalah manusia, kami adalah rakyat Amerika, dan kami tidak akan lupa dari mana kami datang,” kata ahli majlis, Alaa Abdelaziz, warga Palestin pertama di bandar itu.

Paterson ialah bandar terbesar di Passaic County dan bandar ketiga paling ramai penduduk di New Jersey.

Walaupun tiada angka tepat mengenai bilangan orang Arab yang tinggal di kawasan itu, Pengarah Eksekutif Pusat Komuniti Amerika Palestin, Rania Mustafa menganggarkan terdapat seramai 20,000 orang dengan kebanyakannya berketurunan Palestin.

Menurut Mustafa, keputusan untuk menamakan semula jalan itu bertujuan memerangi penghapusan identiti Palestin.

“Kami melihatnya sebagai kemenangan simbolik, kami membuat orang ramai mengiktiraf bahawa Palestin wujud, bahawa ini adalah sumbangan yang telah dilakukan oleh masyarakat Palestin dan mengiktirafnya dalam kapasiti rasmi dan kekal,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button