Berita Utama

Kes anak Loh jadi pengajaran, perlu lebih prihatin buat draf undang-undang

‘Jangan ada cubaan tukar agama seperti yang pernah berlaku dalam kes sebelum ini’

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 19 Rejab 1443H, Isnin – Isu pengislaman tiga anak Loh Siew Hong perlu dijadikan pengajaran kepada semua rakyat terutama pemimpin-pemimpin Islam supaya lebih prihatin dalam membuat draf undang-undang.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, sangat malang kes sebegini berlaku di negara majoriti Islam, tetapi disebabkan undang-undang, buat masa ini semua pihak perlu akur.

“Hanya disebabkan satu kalimah undang-undang sahaja, ia membawa keputusan yang besar,” katanya merujuk kepada perkataan bahasa Inggeris ‘parent’ dalam undang-undang berkaitan yang digunakan dalam hujah perbicaraan hingga menyebabkan hak penjagaan anak-anak mualaf itu jatuh ke tangan ibu yang bukan Islam.

Beliau menuntut supaya Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu dijadikan teks rasmi bagi segala proses dan rujukan perundangan (teks sahih).

“Sekarang ini, kita masih menggunakan versi Bahasa Inggeris dan terbukti telah banyak terkhilaf kerana antaranya teknikaliti terjemahan,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan tiga orang kanak-kanak yang telah diislamkan tanpa kebenaran dikembalikan kepada ibu kandungnya serta merta.

Terdahulu, Aminuddin menyuarakan rasa kecewa dan terkilan namun akur dengan keputusan berkenaan.

“Secara umum agak kecewa dan terkilan perkara ini terpaksa diserahkan semula kepada ibunya tetapi itu kehendak undang-undang, kita akur,” katanya.

Katanya, perjuangan dalam isu ini tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya akan diteruskan dan akan diserahkan kepada peguam untuk mengadakan perbincangan dan tindakan selanjutnya.

“Kami NGO akan terus menjelaskan kisah sebenar dan minta faham isu yang sebenar,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyeru supaya tidak berlaku cubaan untuk menukar agama seperti yang pernah berlaku dalam kes-kes sebelum ini.

Terdahulu, Siew Hong juga mendakwa anaknya dilarikan ketika dia menerima rawatan selepas beliau dicederakan dan didera bekas suaminya, Nagahswaran pada 2019.

Nagahswaran, dikatakan menukar agama tiga kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenarannya.

Ketika ini, ketiga-tiga anak, Low Siew Hong iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 10 tahun diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis walaupun sebelum ini wanita itu telah mendapat hak penjagaan penuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button