Sri Lanka kehabisan petrol
Negara dilanda krisis berdepan kekurangan 14 ubat penting

COLOMBO, 16 Syawal 1443H, Selasa – Perdana Menteri baharu Sri Lanka mengisytiharkan negara yang dilanda krisis itu sudah kehabisan stok petrol.
Ranil Wickremesinghe yang dilantik sebagai perdana menteri pada Khamis dalam satu ucapan kepada negara itu berkata, Sri Lanka memerlukan segera AS$75 juta (RM3.29 bilion) dalam pertukaran asing untuk membayar import penting.
“Buat masa ini, kami hanya mempunyai stok petrol untuk sehari. Beberapa bulan akan datang akan menjadi yang paling sukar dalam hidup kami.
“Kita mesti mempersiapkan diri untuk melakukan beberapa pengorbanan dan menghadapi cabaran dalam tempoh ini.
“Saya tidak mempunyai hasrat untuk menyembunyikan kebenaran dan berbohong kepada orang ramai,” katanya.
Menurutnya, dua penghantaran petrol dan diesel menggunakan talian kredit India boleh memberikan kelegaan dalam beberapa hari akan datang.
Bagaimanapun, negara itu juga menghadapi kekurangan 14 ubat penting.
Kekurangan bahan api dan ubat-ubatan ini – bersama dengan rekod inflasi dan ketiadaan bekalan eletrik yang berpanjangan – telah membawa kesukaran yang teruk kepada rakyat Sri Lanka, dalam krisis kewangan terburuk sejak kemerdekaan dari Britain pada 1948.
Negara itu hampir muflis dan menangguhkan pembayaran balik kira-kira AS$7 bilion (RM30.75 bilion) pinjaman asing yang akan dibayar tahun ini daripada AS$25 bilion (RM10.98 bilion) yang akan dibayar menjelang 2026.
Jumlah hutang luar negara ialah AS$51 bilion (RM224.09 bilion).
Krisis itu membawa kepada bantahan meluas terhadap Presiden Gotabaya Rajapaksa dan keluarganya, yang memuncak dengan peletakan jawatan abang sulungnya Mahinda sebagai perdana menteri minggu lalu.
Ia selepas sembilan orang terbunuh dan 300 cedera dalam pertempuran antara penyokong kerajaan serta penunjuk perasaan. – Agensi