Berita UtamaDunia

Kumpulan bersenjata mengganas, 11 dibunuh dan 80 diculik di Nigeria

Wanita jadi sasaran, penculik mahukan wang tebusan

ABUJA, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Sekumpulan lelaki bersenjata menculik sekurang-kurangnya 80 orang dan membunuh puluhan yang lain dalam serangan berasingan di barat laut Nigeria.

Ia serangan terbaru oleh kumpulan bersenjata yang menyasarkan mangsa di kampung, sekolah dan lebuh raya.

Negeri Zamfara adalah salah satu yang paling teruk terjejas oleh kumpulan bersenjata, yang mengganas dan menculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Situasi itu menyebabkan negeri menjadi huru-hara menjelang pilihan raya presiden pada bulan Februari tahun depan.

“Pihak berkuasa tempatan kini sedang menyiasat,” kata pentadbir kawasan kerajaan tempatan Bukuyum, Bashiru Muawiya Mesudan.

Selain itu, di kampung terpencil Masu, di kawasan kerajaan tempatan Bukkuyum, penyamun menculik 50 penduduk kampung, kebanyakannya wanita, kata keluarga mangsa.

“Lebih 50 wanita yang sudah berkahwin diculik – bersama petani yang tidak bersalah,” kata Sarkin Fawa Masu, seorang pemimpin tradisional.  

Beberapa wanita kemudian dibebaskan manakala dua lelaki dipukul teruk dan dimasukkan ke hospital, beritahu penduduk.

Dalam serangan berasingan, lelaki bersenjata menyerang komuniti Zonai di kawasan kerajaan tempatan Gusau dan menculik sekurang-kurangnya 20 orang yang bekerja di ladang mereka, kata ketua kampung, Lawali Abdullahi Zonai.

Di komuniti Yar Tasha di kawasan kerajaan tempatan Bungudu dan Zurmi, pada hari Ahad lelaki bersenjata membunuh 11 orang dan menculik sekurang-kurangnya tujuh petani, seorang daripadanya adalah ketua daerah, kata penduduk.

Terdahulu pada Rabu, berpuluh-puluh kanak-kanak telah diculik oleh lelaki bersenjata dari sebuah ladang di negeri Katsina utara dan penculik telah menuntut wang tebusan untuk pembebasan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button