Berita Utama

Tun M cabar Zahid tunjuk bukti beliau bukan Melayu

‘Sikap pembohong Zahid amat memualkan, tidak boleh dibiar begitu sahaja’

BANGI, 16 Syawal 1443H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menunjukkan bukti dakwaan beliau sebelum ini bahawa Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bukan bangsa Melayu.

Dr Mahathir dalam tulisan di laman Facebook berkata, tindakan mahkamah akan diambil terhadap Zahid sekiranya beliau tidak menarik balik dakwaan itu.

“Saya sedang pertimbang untuk ambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Zahid yang memfitnah saya.

“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.

“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut menyifatkan Zahid sebagai seorang penipu. 

Ia susulan tindakan Zahid memfailkan saman fitnah terhdap Dr Mahathir berhubung isu mempengaruhi bekas perdana menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Dr Mahathir yang bosan dengan sikap Zahid berkata, beliau akan berjumpa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di mahkamah dan telah mengarahkan peguam menyampaikan kesediaannya. 

“Sebenarnya saya bosan dengan sikap Zahid. Tindakan saman yang diambil hanya sebagai usaha untuk tutup penipuannya menerusi proses mahkamah. 

“Zahid ini penipu. Orang putih kata ‘compulsive liar’, pembohong tegar. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14, dia keluar kenyataan kononnya kad pengenalan (IC) saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Zahid mendakwa IC birunya dengan nama tersebut dihantar kepada Zahid oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Dakwaan ini dibuat Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi perdana menteri.

“Saya tunggu apakah Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai. Tetapi sampai habis pilihan raya tidak. Dia nak burukkan saya sedemikian untuk mempamer kepada umum yang saya menipu mengenai status bangsa saya.

“Dengan itu dia mahu pertikai kelayakan saya pimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya. Kononnya saya ‘anak lelaki’ dan bukan ‘bin’, jadi saya ini bukan Melayu,” katanya.

Menjelaskan ‘isu’ yang ditimbulkan itu, Dr Mahathir berkata, beliau memang mempunyai darah keturunan India seperti yang telah dinyatakan dalam bukunya dan beliau tidak menafikan itu.

Pun begitu, hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan beliau adalah Mahathir bin Mohamad.

“Mengikut takrifan Perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.

“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum merdeka dan kami semua beragama Islam. Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan, sebelum ini beliau tidak gemar menggunakan mahkamah walau ramai yang memfitnahnya kerana sedar di dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

Namun, menurutnya, kali ini beliau merasakan keperluan untuk bertindak kerana sikap pembohong Zahid amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja. 

“Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button