Dunia

77 hari mogok lapar, kesihatan Khalil makin merosot

Klinik penjara Ramla seolah untuk balas dendam, dera tahanan

RAMALLAH, 17 Syawal 1443H, Rabu – Selepas 77 hari mogok lapar, keadaan kesihatan tahanan pentadbiran Palestin, Khalil Awawdeh, 40, dilaporkan semakin merosot.

Persatuan Tahanan Palestin hari ini berkata, keadaan Khalil itu berdasarkan maklumat daripada peguamnya selepas mengadakan lawatan baru-baru ini.

Katanya, Khalil mengalami hilang kawalan pada tubuh, sukar bercakap, tumpuan dan penglihatan semakin lemah, sakit kepala serta anggota badan dan keletihan.

Selama 40 hari, Perkhidmatan Penjara Israel tidak memberikan Khalil pakaian tukar, malah dia juga tidak dibenarkan mandi dan sehingga kini masih memakai baju yang sama.

Menurut persatuan itu, Khalil ada mengadu mengenai keadaan klinik penjara Ramla yang disifatkan sebagai ‘rumah penyembelihan’, dan bertujuan untuk membalas dendam serta mendera tahanan.

Pengganas Israel menahan Khalil – dari bandar Idna di selatan Tebing Barat – pada 27 Disember 2021 dan meletakkannya di bawah perintah penahanan pentadbiran selama enam bulan.

Sementara itu, seorang lagi tahanan pentadbiran Palestin, Raed Rayyan, 27, masih meneruskan mogok laparnya untuk 41 hari berturut-turut, sebagai membantah penahanan tanpa perbicaraan itu.

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan memberitahu bahawa Raed juga mengalami komplikasi kesihatan yang serius.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button