Berita Utama

80 pesakit hipertensi terdedah komplikasi parah

KKM anjur Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan bermula Julai

BANGI, 17 Syawal 1443H, Rabu – Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang separuh pesakit tidak mengetahui menghidap penyakit hipertensi.

Lebih menggusarkan, hanya seorang daripada lima pesakit hipertensi berjaya mengawal penyakit itu, menjadikan 80 peratus yang lain terdedah kepada risiko komplikasi parah, termasuk serangan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bersempena Hari Hipertensi Sedunia tahun ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa masyarakat supaya mengambil langkah-langkah ‘C.E.R.D.I.K’ bagi mengawal dan mencegah penyakit berkenaan.

Langkah-langkah ‘C.E.R.D.I.K’ yang ditekankan KKM adalah berikut:

(a) Cergaskan diri anda;

(b) Elakkan pengambilan alkohol;

(c) Rokok. Berhenti dan jangan mulakan!;

(d) Diet seimbang;

(e) Berat badan ideal;

(f) Kendali stress.

Dr Noor Hisham berkata, Hari Hipertensi Sedunia 2022 disambut bertemakan ‘Tekanan Darah Terkawal, Hidup Lebih Sejahtera’ bagi meningkatkan kesedaran dan kepentingan mengawal tekanan darah di kalangan masyarakat.

“Justeru, dalam usaha untuk mengukuhkan aktiviti saringan kesihatan di kalangan rakyat Malaysia, KKM dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi akan menganjurkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan bermula pada bulan Julai 2022.

“Melalui program ini, KKM berharap agar orang ramai tampil untuk melakukan saringan kesihatan agar pencegahan dan kawalan penyakit dapat dilakukan lebih awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa, KKM turut berharap sambutan Hari Hipertensi Sedunia 2022 akan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah serta bahaya penyakit hipertensi kepada kesihatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button