Pendapat

Ahli politik dinasor jadi duta

Apa wawasan Tajuddin bagi memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Indonesia?

PERLANTIKAN Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman sebagai duta Malaysia ke Indonesia adalah satu bencana yang amat memalukan negara.

2. Seluruh negara masih trauma dengan professionalisme yang ditunjukkan beliau sebagai Pengerusi Prasarana dalam mengurus kes kemalangan LRT pada bulan Mei tahun lepas.

3. Imej orang tua yang bongkak, berfikiran kolot dan sering melakukan jenaka yang tidak kelakar amat tidak cocok untuk menjadi duta di negara jiran yang dijangka bakal menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia pada tahun 2040.

4. Apa wawasan beliau bagi memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Indonesia yang menyumbang sebagai pengeluar 85% minyak sawit global? Adakah kita perlu bersaing, atau bekerjasama sebagai satu kuasa dunia terutama bagi menangani persepsi buruk minyak sawit dari negara Kesatuan Eropah yang menyebabkan pengurangan permintaan yang amat ketara?

5. Apakah strategi bagi menambahbaik kerjasama dan perancangan strategik ketenteraan bagi kedua-dua negara untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Selat Melaka sebagai selat terpenting dan paling strategik dalam perdagangan dunia yang dilalui oleh hampir 100,000 buah kapal setiap tahun?

6. Bagaimana pula dengan isu Pekhimat Domestik Indonesia (PDI) yang terkait pembekalan pembantu rumah dan pekerja asing dari Indonesia yang masih belum selesai? Masalah alam sekitar terutamanya jerebu? Polemik sempadan antarabangsa di Pulau Ambalat?

7. Selain menyelesaikan masalah, adakah Tajuddin mampu menjayakan pelbagai perancangan strategik masa depan antara kedua-dua negara seperti kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan serta sinergi hasil bumi bagi menjana ekonomi bertaraf dunia?

8. Indonesia merupakan pengeksport arang batu (coal) terbesar dunia dan antara pengeksport gas asli (natural gas) terbesar dunia. Negara jiran kita ini juga amat kaya dengan bijih timah, emas, nikel dan tembaga (copper).

9. Maka tidak hairanlah manusia terkaya di dunia, Elon Musk begitu lunak dan berminat dengan Indonesia kerana nikel merupakan komponen penting dalam pembuatan bateri bagi kegunaan kereta elektrik

10. Adakah Tajudin mampu menggalas semua beban berfikir, merancang dan menjayakan agenda-agenda ini. Saya tidak fikir begitu!

Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button