Perkasakan OIC bela nasib Palestin
Syor kerajaan bantu usaha NGO perjuangkan isu Palestin

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 17 Syawal 1443H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyarankan kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dalam pembangunan semula Palestin terutamanya membabitkan pendidikan dan infrastruktur asas negara itu.
Saranan itu disuarakan susulan pendirian Malaysia berhubung isu berkaitan Palestin dalam Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang dipengerusikan Presiden AS, Joe Biden.
Pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington DC, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan isu Palestin dan menggesa Washington menggunakan pengaruhnya dalam menyelesaikan isu berkenaan
Beliau berkata, pendirian tegas itu harus diambil bagi menyelesaikan krisis yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesai isu tersebut.
“Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berpendapat Malaysia perlu lebih kuat menumpukan usaha ke arah memperkasakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Katanya, tindakan itu lebih mustahak berbanding meminta AS untuk campur tangan dalam konflik Palestin.
“Penyelesaian kepada isu Palestin terletak di tangan umat Islam sendiri dan bukan AS yang memang sudah dikenali sebagai sekutu Israel dari awal penubuhan negara itu lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Dalam pada itu, beliau turut mengesyorkan kerajaan membantu usaha badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan isu ini.
“Peranan yang dimainkan banyak oleh NGO sekarang ini akan lebih berkesan jika dimainkan oleh kerajaan,” katanya.