Berita Utama

Rangka pelan persediaan hadapi krisis bekalan makanan

Takkan serai dan halia pun nak import negara jiran: PPIM

BANGI,17 Syawal 1443H, Rabu – Malaysia perlu merangka pelan persediaan awal bagi menghadapi isu kekurangan bekalan makanan yang dijangka dihadapi rakyat negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya polisi sedia ada diteliti semula.

“Kita perlu bersedia ke arah itu sebelum terlambat kerana negara jiran sudah melalui ke arah masalah kekurangan bekalan.

“Daripada hanya dengar cerita-cerita sedap untuk menyedapkan hati lebih baik kita buat persediaan menghadapi masalah tersebut,” katanya.

Terbaharu, India mengharamkan eksport gandum susulan gelombang haba yang telah menjejaskan hasil tanaman itu sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat di negara ini.

Justeru, Nadzim mempersoalkan sampai bila mahu bergantung kepada barangan dari luar negara terutama melibatkan bekalan makanan.

“Sekiranya apa-apa terjadi kepada kita di masa akan datang apa yang kita boleh buat? Takkan serai dan halia pun kita nak import daripada negara jiran,” katanya.

Lebih membimbangkan, rata-rata penduduk tidak mempunyai simpanan bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh jangka masa panjang.

Situasi tersebut hanya memberi kesan buruk dan membimbangkan sekiranya krisis makanan berlaku di negara ini.

“Kalau kita lihat dalam peti sejuk rumah kita sekarang berapa lama stok bekalan makanan itu boleh bertahan?

“Tidak sampai pun dua minggu dan oleh itu kerajaan perlu tukar polisi yang sedia ada ini untuk menghadapi krisis makanan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button