Berita Utama

Sarawak bakal gubal dasar perubahan iklim

Dasar fokus kepada sumber tenaga hijau

KUCHING, 17 Syawal 1443H, Rabu – Kerajaan Sarawak akan menggubal Dasar Perubahan Iklim selaras dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, dasar yang memfokuskan kepada sumber tenaga hijau seperti kuasa hidro, tenaga solar dan hidrogen itu akan dibuat selepas selesai satu kajian di bawah tempoh RMK-12.

“Antara hasil dijangkakan daripada kajian tersebut ialah garis dasar mengenai GHG mengikut sektor tenaga, pengangkutan, proses perindustrian, pertanian, perubahan guna tanah dan pengurusan sisa.

“Memandangkan penumpuan global kini adalah pada pembangunan mampan, pelaksanaan projek pembangunan Sarawak akan datang mempunyai harganya tersendiri, khususnya kesan kepada alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Hazland berkata selain itu, kajian mengenai dasar berkenaan juga dijangka menyediakan pelan tindakan untuk mengurangkan dan menyesuaikan impak daripada perubahan iklim.

“Justeru, pembangunan mampan perlu diusahakan supaya masyarakat mempunyai masa depan lebih baik merangkumi persekitaran bersih, tahap pembangunan berterusan tanpa sisa dan pencemaran berlebihan, dan perlindungan sumber asli serta biodiversiti,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button