Berita Utama

Tiada jaminan UMNO bersatu selagi parti gagal perjuang hak Melayu

Rakyat lihat orang politik gemar main politik untuk dapat kuasa

BANGI, 17 Syawal 1443H, Rabu – Tiada jaminan UMNO akan bersatu menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, meskipun perlembagaan parti untuk membolehkan pemilihan ditangguhkan dilulus Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ia selagi mana parti itu terus berpuak-puak dan gagal sepakat memperjuangkan hak orang Melayu dan rakyat secara umumnya, kata Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata, melihat senario PRU sebelum ini, sabotaj terhadap Barisan Nasional (BN) adalah tinggi kerana rasa tidak puas hati pemimpin dan ahli terhadap cara serta keputusan kepimpinan.

“Senario ini dijangka berterusan tetapi boleh diminimumkan sekiranya parti boleh diuruskan secara muafakat.

“UMNO perlu menerima hakikat bahawa kemenangan parti itu dan BN dalam PRU bukanlah kerana sokongan ahli UMNO semata-mata, malah rakyat perlu percaya dan diyakinkan terus menyokong dan mengundi parti berkenaan dalam PRU,” katanya.

Menulis dalam Berita Harian (BH) hari ini, Dr Mohd Azizuddin berkata, selagi polemik politik berterusan dalam UMNO, maka ia boleh membawa kepada kelemahan dan kejatuhan parti itu sendiri.

Beliau berkata, meskipun penangguhan pemilihan itu sekadar perkiraan dalam UMNO, isu demokrasi parti adalah cerminan persepsi rakyat dalam melihat perjalanan UMNO.

“Meskipun hakikat persaingan politik parti itu normal, rakyat melihat isu ini lebih kepada persaingan politik yang tidak mengambil kira hal mereka.

“Rakyat melihat orang politik gemar bermain politik untuk mendapatkan kuasa sebagai matlamat utama.

“Matlamat diri berbanding rakyat difikirkan matlamat utama sebagai wadah perjuangan kepartian,” katanya.

Katanya, bagi rakyat, isu watikah dan persaingan politik seharusnya tidak timbul dan diselesaikan secara dalaman.

“Sebenarnya, pindaan perlembagaan UMNO bukanlah isu pokok, isu sebenar adalah terletak kepada kredibiliti dan imej UMNO dalam meyakinkan rakyat untuk memberikan sokongan.

“Jadi, sama ada pindaan ini diluluskan atau tidak oleh ROS, UMNO harus menerimanya dengan tangan terbuka dan bersatu padu meneruskan wadah perjuangan bagi membela orang Melayu dan menyelesaikan masalah dalaman secara bijaksana,” katanya.

Pautan berkaitan;

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2022/05/956754/pindaan-perlembagaan-tak-jamin-umno-tidak-digugat-dari-dalam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button