Kolumnis

BERJASA mesti bertanding di kawasan majoriti Melayu ditandingi MCA PRU15

NGO/NGI disertai sokongan secara senyap UMNO, PAS, PPBM perlu pastikan BERJASA tewaskan MCA dan PH

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) pasti akan menyaksikan sekali lagi Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan kepada MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu yang kononnya menjadi kerusi tradisi mereka. MCA bermati-matian mahukan kerusi tersebut diberikan kepada mereka.

Pastinya, UMNO (BN) akan tunduk kepada desakan dan ugutan tersebut. Maklumlah, UMNO tidak mahu dilabelkan sebagai parti perkauman. Laluan kepada MCA amat penting kepada UMNO bagi memperlihat ia parti lebih nampak berwarna, walaupun asalnya satu warna.

Warna-warni ini amat penting kepada UMNO bagi menunjukkan dan membuktikan bahawa ia bukan parti perkauman.

Saya tidak ada masalah UMNO memberikan laluan itu kepada MCA, kerana negara kita berbilang kaum. Kita mesti menerima warna-warni ini kerana itulah sejarah yang telah berlaku. Sebuah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu, satu warna bertukar menjadi berwarna-warni, berbilang kaum. Itulah kehendak Allah s.w.t. yang mesti diterima. Tidak ada lagi label pendatang atau apa jua konotasi yang tidak baik kepada bukan Melayu, meskipun mereka mendatang asal-usul sejarahnya.

Namun, laluan MCA hendaklah diberikan di kawasan majoriti Cina menentang DAP (PH), kerana MCA itu parti Cina, Malaysian Chinese Association (MCA). Dengan nama sedemikian rupa, sudah tentu kekuatan MCA di kawasan majoriti Cina.

Jika MCA berasakan, dengan nama parti Cina itu tidak dapat memikat undi orang Cina, sudah sampai masa ditukar kepada Malaysian Campur Association atau Persatuan Campur Malaysia, jika akronim MCA itu masih mahu digunakan.

Saya coretkan di sini kawasan Parlimen majoriti Melayu yang ditandingi MCA atas nama kerusi tradisi dengan persetujuan dan kerelaan UMNO yang mahukan warna itu. Untuk kerusi DUN, boleh dikaji selepas ini. BERJASA boleh cuba intai kawasan berikut bermula sekarang.

1)Kuantan 67 peratus Melayu – MCA kalah
2)Alor Setar 64 peratus Melayu – MCA kalah
3)Alor Gajah 61 peratus Melayu – MCA Kalah
4)Padang Serai 59 peratus Melayu – MCA kalah
5)Ayer Hitam 58 peratus Melayu – MCA menang undi Melayu
6)Tanjung Piai 67 peratus Melayu – MCA kalah PRU14, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) hasil daripada undi Melayu
7)Tanjung Malim 56 peratus Melayu – MCA kalah
8)Ampang 56 peratus Melayu – MCA kalah
9)Selayang 53 peratus Melayu – MCA kalah
10)Raub 52 peratus Melayu – MCA kalah

Bagi kawasan lebih kurang 50 peratus yang ditandingi MCA atas nama kerusi tradisi seperti, Bangi (49 peratus Melayu), Seremban (49 peratus Melayu), Tebrau (48 peratus Melayu), Bentong (47 peratus Melayu), Petaling Jaya (47 peratus Melayu), Pandan (46 peratus Melayu). Tangguh dulu. Fokus 10 kerusi di atas, yang majoritinya hampir 60 peratus Melayu.

Kenapa perlu memberi laluan kepada BERJASA, dengan sokongan padu NGO/NGI, serta sokongan senyap UMNO, PAS, PPBM, PKR dan parti majoriti Melayu lain.

Pertama, rakyat sudah muak dengan permainan dan silap mata parti-parti yang lama dominan. Begitu juga dengan parti-parti politik baharu. Rakyat sudah muak dengan isu berkaitan integriti, rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain isu berkaitan integriti.

Kedua, BERJASA adalah sebuah parti politik, suatu entiti yang sah. Ada latar belakang atau track record yang baik. Ada nama dan ada pengaruh, walaupun dipersepsikan sebagai parti nyamuk.

Ketiga, NGO/NGI adalah pertubuhan bukan kerajaan, bukan entiti atau parti politik. Jika NGO/NGI masih berdegil, mereka hanya akan bertanding tiket bebas, dengan logo yang pelik-pelik, atas dengan simbol binatang dan benda. Bertanding atas tiket bebas dalam konteks Semenanjung, belum mampu untuk memenangi hati rakyat. Sekurang-kurang BERJASA sudah ada nama dan latar belakang politik yang baik.

Keempat, bertanding menentang MCA yang bertanding di kawasan majoriti Melayu, bukan soal perkauman, kerana Islam menentang perkauman. Tetapi, ini soal strategi.

Selama ini, kita amat tidak berlaku adil kepada parti politik Melayu yang lain. MCA menang mudah di kawasan majoriti Melayu. Laluan mudah ini menjadi menteri dan timbalan, kesemuanya, sedangkan mereka kalah di kawasan majoriti Cina.

MCA menang mudah di kawasan majoriti Melayu dengan sokongan majoriti jentera majoriti Melayu. Minoriti Cina yang berada di kawasan majoriti itu pun tidak memberikan undi kepada MCA.

Paling menyedihkan bila mereka menang di kawasan majoriti Melayu, yang diperjuangkan isu perkauman, seperti sekolah Cina, bandar Cina, hak Cina, ekonomi Cina, Tanah Musang King dan sebagainya.

Paling menyayatkan MCA inilah yang paling tegar menentang nilai-nilai Islam yang cuba dilaksanakan. Misalnya, RUU 355, isu arak, isu zina, pergaulan bebas yang juga menjadi larangan ajaran bukan Islam. Semua ini ada nilai bersama, bukan soal Islam sahaja.

Ini bukan soal perkauman, kekuatan MCA selaku parti Cina hendaklah di kawasan majoriti, bukan di kawasan majoriti Melayu.

Jika MCA kalah di kawasan majoriti Cina, ramai lagi pemimpin bukan Melayu, Cina yang baik-baik, tidak ultra kiasu yang boleh diketengah untuk menjadi ahli Kabinet melalui pelantikan senator, bagi memperlihatkan warna-warni Malaysia itu.

Kelima, kuasa ketiga mesti digerakkan oleh BERJASA bersama NGO/NGI semua parti politik Melayu dan parti bukan Melayu yang tidak ultra kiasu, bermula sekarang. Buatlah perbincangan dengan semua parti politik Melayu untuk memastikan kemenangan tersebut.

Keenam, BERJASA perlu cari tokoh NGO/NGI yang berpengaruh untuk menang di kawasan tersebut. Setakat ini ahli BERJASA belum cukup kuat untuk memenangi hati pengundi.

Ketujuh, pada saya memberikan kemenangan kepada MCA di kawasan majoriti Melayu adalah satu dosa.

Menangnya MCA tidak langsung menguntungkan Islam. Malah semakin dihina dan enjak ada. Menang MCA sekalipun tidak menguntungkan Islam.

Saya ingin ingatkan MCA, yang bergantung menang kepada orang Melayu, kerusi kamu yang sebenar adalah di kawasan majoriti Cina.

Pergi main jauh-jauh kat sana. Begitu banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Cina, yang kamu tandingi, kamu tidak pernah menang.

Ingatan saya kepada semua parti politik diterajui Melayu Islam, sejarah membuktikan bahawa jika kamu menangkan juga MCA di sana, bertambah lagi kerusi dia, makin bongkak dan ultra kiasu dia.

MCA akan minta macam-macam. Makin ultra kiasu dia. Makin kuat dia mengguris dan menghiriskan hati-hati umat Islam Melayu seperti sebelum ini.

Percayalah, terlalu sukar untuk untuk Cina mengundi MCA, walaupun MCA parti Cina tulen. Cina tetap pilih DAP.

Pandai kamu MCA nak menumpang tuah atas ehsan Melayu. Malangnya, bila kamu menang lebih kerusi, lagi kuat kuasa ugut kamu dalam BN.

Paling ditakuti nanti, makin banyak kerusi MCA yang dimenangi, MCA akan jadi ‘king maker’. Ketika itu MCA akan menjadi semakin kuat, sehingga kita terpaksa tunduk kepada semua kehendaknya. Tidak mustahil mereka akan berpihak kepada PH jika sesuatu perkara tidak menyebelahinya.

Dalam kata lain, menyokong MCA ibarat menyimpan biawak hidup.

Melayu Islam menangkan dia, dia lawan balik Melayu Islam. Malah, dia menjadi rasis, secina-cinanya. Berbaloikah menyimpan biawak hidup ini?

BERJASA bermula sekarang berbincanglah dengan BERSATU dan PAS agar mereka tidak masuk bertanding. Bermula sekarang BERJASA boleh berbincang dengan semua NGO dan NGI Islam bagi mendapatkan sokongan itu. BERJASA juga perlu mendekati Parti Cinta Malaysia (PCM) yang boleh menjadi wakil orang Cina. Parti ini lebih mesra Melayu dan Islam, dan tidak pernah mengguris dan melukai hati-hati Melayu dan Islam.

Biarlah pertandingan itu berlaku tiga penjuru antara PH, BN dan BERJASA. Saya yakin di situ akan ada kemenangan.

BERJASA tidak perlu bernafsu besar untuk memenangi banyak kerusi. Dalam konteks politik 60-40 hari ini, memenangi satu atau dua kerusi Parlimen sudah cukup memberikan signifikan.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button